Thursday, 15 November 2012
Singgah Menulis.
14 NOVEMBER berlansungnya wacana Buku Islam DAN Melayu . Ahli panel tersebut terdiri dari kalangan intelektual rakyat yang berlatarkan politik dan agama. Dr Asri, Dr Mujahid , Dr Mazlee Malik, dan penulis buku Islam dan Melayu iaitu Dr Siddiq Fadzil. Wacana dimurnikan lagi dengan kehadiran Ketua Pembangkang Malaysia , Dato Seri Anwar Ibrahim yang memberi ucaptama dalam majlis ilmu tersebut. Penulis tidak sempat untuk mendengar ucapan beliau kerana datamg lewat ke lokasi majlis di Tabung Haji. Penulis mengikuti wacana ilmiah yang dibahas oleh keempat - empat ahli panel tersebut. Isu yang dibangkitkan berasaskan idea dan pemikiran Dr Siddiq Fadzil dalam penulisan buku itu yang cuba menghuraikan fakta sejarah dan realiti umat Melayu abad ini. Setiap peserta yang menghadiri awal pada program itu mendapat buku tulisan tersebut secara percuma. Penulis agak merengek sedikit kerana terlepas peluang. Penulis meminjam buku dari peserta yang duduk disebelah dan sekadar sekali imbas membaca buku tersebut. Karya yang menarik kerana cuba menyingkap fakta sejarah Melayu yang tidak sangat diketahui masyarakat tetapi penulis masih tidak dapat bercerita kerana tidak mendapat kefahaman yang lengkap tentang idea yang diutarakan.
Dr Asri memberi hujah yang sangat bernas, beliau memberi faktual sejarah dengan nas yang diketengahkan oleh Zaba, Syed al Hadi. Antaranya beliau mengatakan bahawa gerakan pembaharuan yang dipelopori oleh Kaum Muda mendapat tentangan sengit dari kelompok agama yang berjawatan dalam pentadbiran kerajaan serta mempunyai pengaruh kukuh di negeri negeri Melayu. Menurutnya lagi, hal ini telah mendorong tokoh - tokoh tajdid untuk berpindah ke negeri selat lalu memainkan peranan di sana. Tambah beliau, kebebasan yang wujud di negeri selat telah mencetuskan pembangunan ilmu masyarakat Melayu. Dr Asri juga menjelaskan bahawa Syed Al Hadi telah memberi jalan untuk kemajuan orang Melayu antaranya menjadikan 3 bangsa ini sebagai rujukan kemajuan iaitu Inggeris, Jepun dan bangsa Cina. Beliau menghuraikan bahawa idea Dasar Pandang Timur ini telah disuarakan oleh tokoh reformis ini puluhan tahun dulu.
Dr Mazlee Malik dengan watak yang suka berjenaka juga sangat menarik penyampaianya. Beliau merasa kagum dengan sambutan rakyat Pulau Pinang yang berkorban untuk hadir dalam majlis ilmu yang dianjurkan. Dr Mazlee menceritakan ketika pulang ke kampung, orang kampung mengatakan orang Melayu Pulau Pinang tertindas dan kebuluran di bawah pemerintahan DAP sedangkan realiti yang berlaku adalah kontra dengan arus dakwaan tersebut. Penulis tidak dapat menceritakan semua hal yang berlaku disebabkan kesilapan penulis tidak membawa sebarang alat catitan dan hanya menggunakan alam perakan ciptaan Tuhan untuk menitip segala hujah yang dibawa.
Walau apa pun, penulis tidak berasa kekok berada di Pulau Pinang. Hal ini kerana bumi ini milik Allah, sesiapa saja boleh menetap di mana kawasan. Soal cina Dap , melayu tertindas , Dap zalim bukanlah isu yang serius. Kezaliman orang Melayu berlaku disebabkan punca orang Melayu itu sendiri . Contohnya soal tanah, berapa banyakkah tanah yang telah dijual kepada bukan Islam di Pulau Pinang ? Berapakah harga rumah di Pulau Pinang sehingga menyebabkan orang Melayu terpaksa berambus dari Penang kerana kos hidup yang tinggi ? Semua berpunca dari bangsa Melayu sendiri. Bangsa cina menjadi kaya adalah dengan kegigihan mereka. Jadi isu ini sama sekali tidak memberi kesan kepada umat Melayu Pulau Pinang. Jika ada kelompok yang ingin mensensasikan isu tersebut, soal mereka, siapa punca semua itu, siapa yang menyerahkan Pulau Pinang kepada orang cina?
Konklusinya, perkembangan intelektual subur berlaku di Pulau Pinang, semua ini boleh berjalan sekiranya pemimpin itu adalah orang yang mencintai ilmu. Perkara yang sama berlaku di Kelantan. Setiap Jumaat akan diadakan kuliah di laman Pejabat MB. Keadaan ini bergantung kepada pemimpin. Jika hiburan yang dipilih, maka hiburanlah yang disaji. Kuliah agama aktif di masjid - masjid dan aktiviti kebudayaan rancak di Pulau Pinang. Oleh kerana itu, kegiatan ilmiah di Pulau Pinang wajib digiatkan dalam memajukan rakyat. Lakukan pameran kebudayaan untuk mengetahui budaya orang lain, seminar - seminar tentang kebersihan, wacana sains, perbahasan sastera dan forum sejarah serta kelas bahasa. Semangat keintelektualan Syed Al Hadi perlu diwarisi generassi Y untuk kemajuan minda agar merdeka dan kritis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment