PENDAHULUAN
Dalam setiap kelompok masyarakat, sama ada berbentuk agama dan kepercayaan mahupun aliran pemikiran dan kebudayaan, selalu sahaja ada sebahagian daripada mereka yang cenderung mendominasi kelompok lain. Tidak jarang keinginan tersebut diwujudkan secara paksa dan kadang-kadang dengan kekerasan. Persaingan antara kelompok sudah mewarnai sejarah kehidupan manusia, sejak dahulu hingga ke hari ini.
Sejarah terorisme dirancakkan dengan munculnya kelompok-kelompok pelampau dari berbagai agama. Kelompok ekstrim Yahudi, Zealot, terlibat dalam pembunuhan terhadap pegawai tinggi pemerintahan Rom yang dikenali sebagai kegiatan Sicarii sekitar tahun 66-73 M.; Assassin dilakukan oleh sebahagian kelompok Syi‘ah Isma‘iliyyah Nizariyyah pada abad ke-11 M.[1] Malahan sejarah terorisme moden diawali pada zaman revolusi Perancis (tahun 1793-1794) oleh kelompok Jacobin[2] yang dipimpin Robespierre;[3] sehinggalah ke abad 21 ini, gerakan terorisme tidak sepi daripada kumpulan-kumpulan agama. Tetapi di atas segala hal, masalah politik merupakan faktor utama di sebalik kemunculan gerakan keganasan ini.
Banyak penganalisis di Barat yang lupa bahwa kekerasan yang timbul dari kalangan umat Islam secara tidak langsung disebabkan langkah dan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak luar, iaitu negara-negara Barat sendiri, mereka lalu mencari akar sejarah kepercayaan Islam yang dikatakan sebagai faktor pendorong gerakan tersebut; agama dianggap sebagai akar kekerasan dalam Islam.[4] Jihad dipandang sebagai punca timbulnya keganasan.[5]
Pada sudut yang lain, kelompok-kelompok Muslim yang melakukan tindak keganasan sering dipanggil sebagai kelompok Islam fundamentalis, Islamis, radikal, ekstremis, militan dan sebagainya; sehingga apabila istilah-istilah ini disebut maka yang terbayang dalam fikiran pendengarnya adalah sama dengan teroris. Padahal istilah-istilah tersebut mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Seseorang mungkin saja seorang fundamentalis, tetapi belum tentu ia teroris. Walaupun kelompok-kelompok tersebut sering dikaitkan dengan kekerasan, namun tidak bererti semuanya mengamalkan terorisme. Karena itu mempersamakan mereka secara keseluruhan dengan teroris adalah suatu pengeliruan.
Artikel ini membicangkan kumpulan Jemaah Islamiyah, salah satu kumpulan Muslim yang dikaitkan dengan keganasan di Asia Tenggara. Perbincangan meliputi asal-usul, ideologi, strategi perjuangan, dan wilayah operasinal kumpulan tersebut; kemudian penulis akan memberikan penilaian yang sepatutnya, apakah Jemaah Islamiyah merupakan kelompok pengganas atau bukan.
ASAL-USUL JEMAAH ISLAMIYAH
Jemaah Islamiyah[6] (JI) adalah nama untuk kumpulan Muslim yang beroperasi di Asia Tenggara. Kumpulan ini menjadi popular selepas peristiwa pengeboman sebuah pusat hiburan di Bali pada 12 Oktober 2002, yang mengorbankan 202 nyawa, dan pengeboman di hotel J.W. Marriot, Jakarta, pada 5 Ogos 2003, yang membunuh 12 orang. Kemudian JI juga dipercayai bertanggungjawab ke atas pengeboman di depan pejabat Kedutaan Australia di Jakarta pada 9 September 2004, dan beberapa siri pengeboman gereja di Indonesia pada tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, JI secara rasmi dimasukkan ke dalam senarai organisasi teroris di PBB pada 23 Oktober 2002.
Walaupun dilaporkan bahawa JI baru ditubuhkan di Malaysia sekitar tahun 1990-an oleh Abdullah Sungkar[7] bersama-sama dengan veteran perang Afghanistan yang terlibat dengan al-Qa‘idah, namun menurut sebahagian pengamat, akar kumpulan JI telah bermula sejak tahun 1970-an, ketika Sungkar dengan Abu Bakar Ba’asyir[8] mendirikan Sekolah Agama atau Pondok Pesantren al-Mukmin yang dikenali sebagai Pondok Ngruki di Solo, Jawa Tengah.[9] JI merupakan transformasi daripada gerakan Darul Islam (DI) yang pernah memberontak sekitar tahun 1950-an, bertujuan untuk mendirikan Negara Islam Indonesia (NII).[10] Dikabarkan bahwa Sungkar dan Ba’asyir masuk ke dalam DI tahun 1976. [11] Sungkar dilantik menjadi gabenor militer NII wilayah Jawa Tengah.[12] Pada bulan Februari 1977 ia menubuh dan memimpin kelompok pejuang yang diberi nama Jemaah Mujahidin Ansharullah (JMA) dan dianggap oleh sebahagian pengamat sebagai mukadimah bagi gerakan JI sekarang.[13] Menurut Mark Hong, Sungkar dan Ba’asyir akrab dengan Abdul Wahid Kadungga,[14] dialah yang memperkenalkan kepada mereka gerakan Jama‘ah Islamiyyah (Islamic Group), sebuah gerakan militan Muslim yang merupakan pecahan daripada Ikhwan al-Muslimin (IM) dan mulai popular di Mesir tahun 1970-an.[15]
Ketika Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) ditubuhkan pada tahun 1967, Sungkar dan Ba’asyir memimpin cawangannya di Jawa Tengah. Mereka mendirikan stesyen Radio Dakwah Islamiyah Surakarta, yang secara terbuka menyeru melaksanakan jihad di Jawa Tengah, kemudian stesyen radio tersebut diarahkan oleh pemerintah supaya ditutup pada tahun 1975. Kerana itu, ketika menjelaskan kumpulan Jemaah Islamiyah, ICG Asia Report,[16] menyatakan:
Organisasi tersebut [JI] merupakan jelmaan sebuah hibrida ideologi (ideological hybrid). Ada pengaruh kuat dari kelompok Islam radikal di Mesir, dalam erti struktur organisasi, kerahsiaan, dan misi jihadnya. Gerakan Darul Islam pada tahun 1950an masih tetap menjadi ilham yang kuat, akan tetapi ada warna anti-Kristian yang menonjol pada ajaran-ajaran JI yang bukan ciri Darul Islam. Menurut orang-orang yang dekat dengan Abdullah Sungkar, hal itu akibat hubungan masa lalunya dengan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), yang oleh seorang ilmuwan disebut “memiliki obsesi hampir paranoid, yang melihat usaha-usaha misionaris Kristian sebagai ancaman terhadap Islam, serta orientasi yang kian kuat kepada Timur Tengah, terutama Arab Saudi”.[17]
Pada tahun 1978, Sungkar dan Basyir dipenjarakan oleh pemerintahan Soeharto, kerana didakwa bersubuhat dengan kumpulan Komando Jihad[18] yang diketuai oleh Haji Ismail Pranoto (Hispran) untuk mencetuskan tindakan subversi, dan menuntut pelaksanaan Syari‘ah Islam di Indonesia. [19] Pada tahun 1982, mereka dibebaskan, namun kemudian ekoran peristiwa Tanjung Priok tahun 1984 yang mengorbankan banyak nyawa, keduanya kembali dituduh melakukan subversi. Inilah yang menyebabkan Sungkar dan Ba’asyir melarikan diri ke Malaysia tahun 1985 melalui Medan.[20] Dalam perjalanannya ke Medan, menurut sebahagian pengamat, Sungkar sempat singgah di daerah transmigrasi Lampung, Sumatera Selatan, iaitu kawasan penempatan transmigrasi (perpindahan penduduk) asal Jawa Tengah dan Jawa Timur. Ia sempat membentuk kumpulan yang dinamakan Jemaah Islamiyah di daerah Way Jepara. [21] Lampung telah menjadi asas gerakan Darul Islam yang kuat sejak 1970-an, dipimpin Abdul Qadir Baraja,[22]yang pernah menjadi guru dan turut mendirikan Pondok Ngruki dan kawan rapat Abu Bakar Ba’asyir, yang juga turut hadir pada kongres pendirian Majelis Mujahidin Indonesia (MMI) dan dilantik sebagai ketua bahagian fatwanya. Way Jepara merupakan tempat bagi apa yang disebut sebagai Sekolah Satelit Pondok Ngruki, yang pada tahun 1989 menjadi pusat sebuah pertempuran berdarah antara warga Pesantren dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI).[23] Mereka dikenali sebagai kelompok Mujahidin Warsidi. Mereka dianggap menentang ideologi negara, Pancasila.[24]
Tiba di Malaysia Sungkar dan Ba’asyir bertemu dengan Abdul Wahid Kadungga, dialah yang menguruskan tempat tinggal bagi mereka. Sungkar dan Ba’asyir menetap di Kuala Pilah dengan menggunakan nama samaran; Sungkar menggunakan nama “Abdul Halim”, sedangkan Ba’asyir menggunakan nama “Abdus Somad”.[25] Di Malaysia mereka bertemu dengan pendatang lainnya yang berasal dari kelompok pemisah Aceh dan Sulawesi yang sebelumnya ada hubungan dengan DI. [26] Sungkar dan Ba’asyir meneruskan dakwahnya. Walaupun mereka sudah berada di Malaysia, namun tetap berhubung dengan rakan-rakannya di Indonesia, bukan sahaja yang berada di Jawa Tengah, tetapi juga di Jakarta, Jawa Barat, Sumatera Utara, dan Sulawesi Selatan. Mereka merekrut anggota yang bersedia berperang di Afghanistan.[27] Sungkar merekrut sukarelawan melalui Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII) dan mulai menghantar mereka ke Afghanistan sejak tahun 1985 dengan bantuan dana daripadaRabitah al-‘Alam al-Islami (Islamic World League).[28]
IDEOLOGI JEMAAH ISLAMIYAH
Menurut Sidney Jones, ada empat sumber yang mewarnai gerakan Jemaah Islamiyah.[29] Pertama, ideologi Salafiyah yang telah berakar sebelumnya pada gerakan Darul Islam (DI), yaitu berjuang untuk mewujudkan negara Islam untuk menegakkan syari‘ah Islam semurni-murninya sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi, para sahabat, dan generasi terdahulu (salaf). Sebahagian anggota gerakan DI Jawa Barat adalah anggota organisasi Persatuan Islam (PERSIS) yang didirikan oleh Ahmad Hassan pada tahun 1920-an, dan memiliki beberapa persamaan di segi fahaman keagamaan dengan faham Wahabi di Arab Saudi. Imam Samudera (Abdul Aziz) yang dituduh melakukan pengeboman di Bali adalah berasal daripada keluarga PERSIS.[30] Ketika masih belajar, Imam Samudera sangat akrab dengan salah seorang gurunya, Kyai Saleh As’ad, yang pernah jadi pemimpin Darul Islam di Banten pada tahun 1970-an.[31]
Kedua, Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) yang didirikan tahun 1967 oleh Mohammad Natsir dan rakan-rakannya yang merupakan bekas anggota Masyumi.[32] Natsir sendiri pernah memimpin PERSIS dan Parti Islam Masyumi (Majelis Syura Muslimin Indonesia) pada tahun 1950-an.[33] DDII semakin berorientasikan Salafiyah setelah Rabitah al-‘Alam al-Islami (Islamic World League) yang didirikan tahun 1962 dan berpusat di Arab Saudi, memberikan dana bantuan pendidikan, dakwah, dan pembangunan masjid melaluinya.[34] Natsir juga pernah menjawat jawatan wakil presiden Rabitah.[35] Dan Rabitah juga yang mendanai latihan ketenteraan yang diikuti oleh pengikut Abdullah Sungkar di Afghanistan.
Ketiga, Ikhwan al-Muslimin (IM) di Mesir dan kumpulan pecahannya yang lebih keras, yaitu Jama‘ah Islamiyyah yang telah dihuraikan sebelum ini. Pemikiran tokoh-tokoh IM mempengaruhi Sungkar dan Ba’asyir serta memberi inspirasi bagi mereka untuk mendirikan gerakan usrah di Jawa Tengah. Sungkar juga meniru pola gerakan Jama‘ah Islamiyyah Mesir yang dipimpin oleh Syaikh ‘Umar ‘Abd al-Rahman yang tertuduh bersubuhat dalam kasus pengeboman WTC (World Trade Center), New York, tahun 1993. Dikatakan bahwa pada pertengahan tahun 1990-an, Sungkar dan Ba’asyir pernah berhubung dengan Usamah Rusydi dari kumpulan Jama‘ah Islamiyyah, Mesir.[36]
Keempat, ideologi Mujahidin Afghanistan dan al-Qaedah, khususnya Abdullah Azzam. Sukarelawan yang dihantar oleh Sungkar ke Afghanistan mendapat latihan di kem pejuang yang dipimpin oleh Abdul Rasul Sayyaf yang berfahamkan Wahabi. Sayyaf ada hubungan dengan Azzam yang ketika itu memimpin Rabitah al-‘Alam al-Islami cawangan Peshawar. Azzam juga memimpinMaktab al-Khidmat yang merekrut, mendanai, dan melatih sukarelawan dari negara-negara Islam untuk berjuang melawan Soviet Union di Afghanistan. Tulisan-tulisan Azzam yang berkaitan dengan jihad diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh penerbit Pustaka Al-Alaq, yang dipercayai mempunyai jaringan dengan JI atau Pondok Ngruki di Solo. Mukhlas (Ali Gufran)[37] mengakui bahwa ia banyak dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran Azzam. [38]
STRATEGI PERJUANGAN JI
Seorang murid Sungkar mengatakan bahwa ia kerap memperbandingkan perjuangan kaum Muslimin di Indonesia dengan perjuangan Rasul di Makkah. Seperti Rasul yang harus merancang strategi perjuangan secara senyap, maka setiap upaya untuk berjuang secara terbuka bagi menegakan sebuah negara Islam akan ditumpaskan oleh musuh-musuh Islam.[39] Karena itu, JI merupakan sebuah organisasi rahsia. Strategi yang dilakukan JI untuk mencapai cita-citanya adalah dengan Iman, Hijrah dan Jihad.[40] Tahap-tahap perjuangan Rasul mulai dari Makkah secara sembunyi-sembunyi dan kemudian berhijrah ke Madinah setelah mendapat tentangan hebat dari kaumnya; pada akhirnya berjihad setelah umat Islam kuat, kembali semula ke Makkah menakluki kota tersebut dari penguasa jahiliyah, banyak mempengaruhi gerakan-gerakan Islam di berbagai negara.[41]
Terinspirasi oleh gerakan Ikhwan al-Muslimin (IM), bahwa Negara Islam tidak mungkin akan berdiri tanpa terlebih dahulu digerakkan usaha Islamisasi terhadap individu-individunya (Islamisasi mulai dari bawah); maka langkah-langkah yang ditempuh untuk mencapai tujuan tersebut adalah sebagai berikut: Pertama, mendakwah individu-individu muslim, ini dilakukan secara umum di masjid-masjid. Kedua, individu-individu yang sudah menerima dakwah tadi dikelompokkan ke dalam kumpulan kecil yang dipanggil usrah (daripada bahasa Arab, bermakna: keluarga). Dalam usrah-lah anggota baru mendapat pendidikan. Kegiatan usrah ini biasanya dilakukan dari rumah ke rumah secara bergilir-gilir, ini dilakukan secara tertutup. Ketiga, daripada kumpulan-kumpulan usrah tadi dibentuklah kelompok yang lebih besar lagi, Jama‘ah Islamiyyah. Dan akhirnya, himpunan daripada Jama‘ah ini akan membentuk sebuah Negara Islam. Sungkar dan Ba’asyir meminta para alumni pesantren al-Mukmin supaya masuk ke dalam jaringan usrah-usrah tersebut.[42] Pola gerakan usrah yang berasal daripada Ikhwan al-Muslimin (IM) ini kemudian juga menyebar di kampus-kampus universitai.[43]Sebahagian anggota gerakan ini kemudian banyak mengkritik dan menentang pemerintah Indonesia.[44]
Cara yang dilakukan JI dalam merekrut anggota pejuangnya adalah sebagai berikut: Pertama, menyampaikan dakwah secara umum di masjid-masjid dan di pesantren-pesantren; Kedua, orang-orang yang nampaknya tertarik dengan dakwah tadi dijemput untuk menghadiri halaqah, yaitu pengajian tertutup dalam kumpulan kecil yang keanggotaannya lebih sedikit (usrah). Dalam halaqah ini anggota akan dibimbing oleh seorang murabbi (instruktor), dialah yang akan memimpin anggota melalui empat tahap: tabligh (penyampaian dakwah dan informasi), ta‘lim(pengajaran tentang agama Islam), tarbiyah (pendidikan dan latihan mental dan fizikal), dan tamhis (penyaringan). Pada peringkat tamhis, para peserta akan disaring dan diuji bakat serta keupayaan mereka, kemudian mereka akan dibai‘ah menjadi anggota yang setia sebagai pengikut JI.[45]
Sungkar mengatakan bahwa untuk mewujudkan Dawlah Islamiyah itu diperlukan tiga kekutan: Quwwatul Aqidah (kekuatan akidah), Quwwatul Ukhuwwah(kekuatan persaudaraan sesama muslim), dan Quwwatul Musallahah (kekuatan bersenjata). Namun cara atau alat yang amat penting dalam mencapai tujuan tersebut, menurutnya, adalah dengan melaksanakan jihad (perang). [46] JI juga membentuk pasukan khusus yang dipanggil dengan nama Laskar Khas. Antara tugas pasukan ini adalah melakukan serangan-serangan dan pengeboman.[47]
WILAYAH OPERASI JEMAAH ISLAMIYAH
JI bekerjasama dengan al-Qaeda setelah Abdullah Sungkar bertemu dengan Osama bin Laden di Afghanistan, awal tahun 1990-an.[48] JI yang telah mendapat semangat baru ini, sebagai tangan kanan al-Qaeda di Asia, tidak hanya bercita-cita mendirikan Negara Islam Indonesia sebagaimana diimpikan oleh DI, melainkan bertujuan lebih jauh lagi, iaitu mendirikan Negara Islam di Asia Tenggara atauDawlah Islamiyyah Nusantara, yang terdiri dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand Selatan, dan Mindanao di Filipina, bahkan juga mencakupi Papua dan Australia. Pada akhirnya, JI berniat mendirikan Khilafah Islamiyyah yang akan menaungi umat Islam secara keseluruhannya.
JI membagi Asia Tenggara kepada beberapa Mantiqi (region):
- Mantiqi I, meliputi Semenanjung Malaysia dan Singapura, dipimpin oleh Hambali[49], kemudian setelah ia tertangkap dipimpin oleh Muchlas (Ali Ghufron). Mantiqi ini berperanan menyediakan keperluan ekonomi untuk operasi JI;
- Mantiqi II, meliputi sebahagian besar wilayah Indonesia. Mantiqi ini merupakan sasaran jihad, dipimpin oleh Abdullah Anshori (alias Abu Fatih)[50];
- Mantiqi III, meliputi Mindanao, Sabah dan Sulawesi, berperanan melaksanakan latihan ketenteraan, dipimpin oleh Mustopa[51];
- Mantiqi IV, meliputi wilayah Papua dan Australia, berperanan mengumpul dana, dipimpin oleh Abdul Rahim.[52]
Kemudian masing-masing mantiqi dibagi pula kepada wakalah (district, atau perwakilan), dan wakalah dibagi lagi menjadi fi’ah (cell, atau kelompok).[53]
HUBUNGAN JI DENGAN KUMPULAN LAINNYA
JI mempunyai hubungan dengan al-Qaeda, MILF, Abu Sayyaf, dan kumpulan-kumpulan pemisah Muslim lainnya yang ada di Asia Tenggara. Kumpulan-kumpulan tersebut secara organisasi tidak dapat dikatakan mempunyai hubungan langsung, masing-masing kumpulan mempunyai struktur organisasi yang bersifat independen. Apa yang mempersamakan mereka adalah ideologi dan cita-cita hendak mendirikan negara Islam. Hubungan antara mereka terjalin sejak anggota-anggota kumpulan berkenaan turut sama-sama terlibat dalam latihan tentera di Afghanistan - Pakistan, sama ada semasa perang melawan Soviet Union, mahupun sesudahnya. Sejak tahun 1994 pemimpin JI memutuskan untuk memindahkan pusat latihan anggotanya dari Afghanistan ke Mindanao, dengan alasan kos yang lebih murah dan kedudukan logistiknya yang lebih dekat. JI sendiri membuka kem latihan baru dekat kem latihan Abu Bakar milik MILF, terletak antaraMaguindanao dan Lanao del Sur, yang dinamakan dengan kamp Hudaibiyah. Kem ini kemudiannya diserang dan berjaya diduduki oleh pasukan pemerintah Filipina pada bulan April 2001. Pusat latihan dipindahkan ke kem Jabal Quba di Gunung Kararao. Dalam kem latihan tersebut anggota-anggota dari kumpulan JI, MILF, dan Abu Sayyaf mendapat latihan bersama-sama. Sebahagian anggota JI bahkan juga terlibat dalam beberapa peristiwa pengeboman di Filipina. Fathur Rohman al-Ghozi[54], misalnya, terlibat bersama-sama dengan anggota MILF dalam merancang lima serangan bom secara serentak di Manila pada 30 Disember 2000, bertepaatan dengan hari Rizal. Zulkifli[55], pemimpin kem JI perwakilan Hudaibiyah, terlibat pula bersama-sama dengan anggota MILF dan Abu Sayyaf dalam merancang beberapa serangan bom di Mindanao.[56] Selain daripada kem latihan di Mindanao tersebut, JI dan MILF juga membuka kem latihan baru di Poso, Sulawesi, Balikpapan dan Sampit di Kalimantan. Bahkan JI juga punya kem latihan di Blue Mountains, Australia.[57]
Akhir tahun 1999, Abu Bakar Ba’asyir mengadakan pertemuan di Universiti Islam Antara Bangsa Malaysia, bagi mendirikan Rabitatul Mujahidin (RM).[58] RM merupakan gabungan kelompok pemisah yang berasal daripada Filipina, Indonesia, Malaysia, Myanmar, dan Thailand. Antara kumpulan yang turut terbabit dalam gabungan tersebut adalah Kelompok Mujahidin Malaysia (KMM, yang sering disebut sebagai Kumpulan Militan Malaysia); Laskar Jundullah, Darul Islam, Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Republik Islam Aceh dari Indonesia; MILF dari Filipina Selatan; the Rohingya Solidarity Organisation (RSO) dan Arakan Rohingya Nationalist Organisation (ARNO) dari Myanmar; dan the Pattani United Liberation Organisation (PULO) dari Thailand Selatan.[59] Malahan juga dikatakan bahwa pada pertemuan kedua RM yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, pertengahan tahun 2000, turut hadir ialah wakil dari kumpulan Jihad Islam Mesir (Egyptian Islamic Jihad).[60]
PENILAIAN TERHADAP JEMAAH ISLAMIYAH
Pertama yang hendak dijelaskan adalah bahwa gerakan keganasan memang ada dilakukan oleh sekelompok anggota JI. Namun tidak semua anggota JI terlibat dalam kegiatan tersebut, sebahagian daripada mereka ada yang moderat, seperti yang dinyatakan oleh Greg Fealy, mereka turut serta dalam pendidikan agama yang menganjurkan kedamaian dan terbabit dalam kerja-kerja kebajikan.[61] Bahkan Abu Bakar Ba’asyir, menurut hasil penyelidikan ICG Asia Report, lebih bersikap moderat dan menentang aksi-aksi pengeboman. Ketika Abdullah Sungkar meninggal dunia pada November 1999, Ba’asyir menggantikannya sebagai ketua JI. Tetapi ramai pengikut Sungkar yang direkrut di Indonesia, terutama anak-anak muda yang lebih keras, tidak berpuas hati dengan peralihan kepemimpinan ke tangan Ba’asyir. Kelompok tersebut di antaranya termasuk Riduan Isamuddin (alias Hambali), Abdul Aziz (alias Imam Samudra), Ali Gufron (alias Muchlas), dan Abdullah Anshori (alias Abu Fatih), dan lain-lain. Mereka menganggap Ba’asyir terlalu lemah, terlalu bersikap akomodatif, serta terlalu mudah dipengaruhi orang lain.
Perpecahan tersebut kian teruk ketika Ba’asyir bersama Irfan Awwas Suryahardy[62] dan Mursalin Dahlan[63], mendirikan Majelis Mujahidin Indonesia(MMI) pada bulan Ogos 2000. Menurut kelompok tadi, konsep MMI telah menyimpang dari ajaran-ajaran Abdullah Sungkar. Misalnya, mereka menganggap hal itu merupakan pengkhianatan terhadap ijtihad politik Sungkar agar JI tetap bergiat di bawah tanah hingga muncul saat yang tepat untuk menegakkan negara Islam. Tetapi, Abu Bakar Ba’asyir berdalih bahawa ruang keterbukaan yang ada pasca Soeharto membuka peluang-peluang baru; jika peluang tersebut tidak dimanfaatkan, maka hal itu bukan sahaja langkah yang salah, bahkan satu dosa. Kelompok tersebut membantah bahwa sistem politik mungkin sahaja lebih terbuka saat ini, namun ia masih dikuasai kaum kafir.
Pengikut Sungkar menolak pandangan Fuad Amsyari, setiausaha MMI, yang mengusulkan perjuangan menegakan syari‘ah Islam sebaiknya melalui jalur parlimen seperti DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) serta memilih calon dari partai Islam pada pilihan raya. Pasca pengakuan Omar Al-Faruq yang kemudian dimuat dalam majalah Time edisi September 2002, terjadi pertemuan antara MMI dengan JI. MMI menyampaikan pandangan Abu Bakar Ba’asyir yang melihat aksi perjuangan bersenjata seperti peledakan bom sebaiknya dihentikan. Karena, hal itu akan memberi impak negatif bagi gerakan Islam.[64]
Dilaporkan telah terjadi pertemuan antara MMI dengan JI di beberapa tempat antara lain di daerah Perak, Surabaya, Lamongan, Mojokerto. Dalam pertemuan itu pihak MMI membujuk JI untuk membatalkan kemungkinan melakukan pengeboman. Sebab, kalau Amerika Syarikat dan pemerintah Indonesia bertindak serentak, maka banyak aktiviti gerakan Islam akan turut terseret dan ditumpaskan. Pandangan Ba’asyir yang disampaikan wakil MMI dalam pertemuan itu tidak dihiraukan oleh anggota JI berhaluan keras. Meskipun secara de jure mereka masih mengakui Abu Bakar Ba’asyir sebagai ketua, tetapi mereka mulai mencari figur-figur baru calon pemimpin yang lebih sejalan dengan pemikiran mereka. Mungkin Ba’asyir mengetahui banyak tentang jaringan JI dan aksi-aksi pengeboman. Namun, hanya kemungkinan kecil sahaja dirinya dianggap sebagai perancang disebalik aksi-aksi tersebut.[65] Sebaliknya, kelompok berhaluan keraslah yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.
Kedua, ideologi yang dipegangi oleh kelompok JI, sama ada dari Salfisme, atau Ikhwan al-Muslimin, dan lain-lainnya seperti telah dijelaskan sebelum ini, tidak dapat dikatakan sebagai penyebab utama yang membuat anggota JI bertindak ganas.[66] Muhammad Rasyid Rida dan bahkan pendiri Ikhwanul Muslimin (IM) sendiri, Hasan al-Banna serta pengikut awalnya juga dikatakan mengikuti fahamansalaf (salafisme);[67] Tetapi, mereka bukanlah pengganas dan tidak menganjurkan tindakan keganasan.[68] Mohammad Natsir, pendiri DDI, juga seorang demokrat dan berfikiran moden. Dengan demikian, ideologi tidaklah dapat dikatakan sebagai penyebab utama timbulnya keganasan dari sebahagian anggota kelompok JI tersebut. Jika benar demikian, tentulah semua orang yang berpegang pada ideologi itu akan terbabit dalam tindakan keganasan. Dalam laporan ICG Asia Report, no. 83, 13 September 2004, terungkap bahwa pengikut aliran salaf di Indonesia terpecah menjadi dua: salafi murni, dan salafi jihadi. Yang pertama bertujuan memurnikan ajaran Islam daripada unsur-unsur syirik, bid‘ah dan khurafat. Mereka memahamijihad (dalam pengertian perang) sebagai usaha membela diri daripada serangan musuh, bukan menggempur atau memulai serangan (jihad talab} atau jihad hujum). Mereka juga tidak membabitkan diri dalam urusan politik, dan menolak pendekatan revolusi menggulingkan pemerintahan yang dipegang oleh seorang muslim. Sedangkan yang kedua bersikap sebaliknya, mereka ini umumnya adalah veteran perang Afghanistan.[69]
Penulis berpendapat bahwa ada faktor kejiwaan yang mendorong kelompok berkenaan bertindak ganas. Secara umum mereka yang terlibat dalam kegiatan keganasan itu adalah golongan yang lebih muda, yang penuh dengan semangat dan keberanian, lebih-lebih lagi setelah mereka turut berperang di Afghanistan. Maka jiwa mereka telah serasi dengan suasana perang, dan cenderung menggunakan kekerasan terhadap orang-orang yang mereka anggap sebagai musuh. Dalam kumpulan al-Qaeda pun tidak semuanya menyetujui tindak keganasan. Abdullah Azzam sendiri, mentor Usamah bin Ladin, tidak merestui perjuangan menggunakan cara-cara keganasan. Sebaliknya, golongan yang lebih muda, seperti Ayman al-Zawahiri dan rakan-rakan yang berasal dari kumpulan Jihad Islam Mesir, inilah yang mendorong untuk melakukan kegiatan keganasan.[70]
Ketiga, banyak pemerhati yang lupa bahwa lahirnya keganasan dari sekumpulan umat Islam itu secara tidak langsung disebabkan oleh tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak luar negara, negara-negara Barat yang bersikap ‘double standard’. Mereka lupa bahwa pengeboman di Bali adalah setelah Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menyerang Afghanistan dan memporak-perandakan Iraq. Malah pada masa yang sama, penindasan terhadap rakyat Palestin tetap berterusan.
Keempat, tidak ada yang salah dalam fahaman Salafisme atau pun Wahabismeseperti yang banyak diungkapkan; seketat apa pun pandangan dan pendapat mereka, mereka tetap berniat untuk mengikuti ajaran Islam yang benar, sesuai dengan yang pernah diamalkan oleh Rasulullah, para sahabat, dan generasi sesudahnya. Apa yang salah adalah sikap yang terbit dari segolongan pengikutnya untuk memaksakan fahaman mereka pada orang lain dan cenderung menafikan fahaman lainnya.
Kelima, adanya kecenderungan pihak Barat untuk mengaitkanfundamentalisme, Salafisme, Wahabisme, atau pun Islamisme dengan terorisme. Tindakan ini adalah salah kerana membuat kesimpulan secara umum (generalisation). Hal ini sebetulnya juga mencerminkan sikap mereka yang terlalu fanatik kepada sekularisme yang cenderung menolak peranan agama dalam kehidupan bermasyarakat. Jangankan menjadikan Islam sebagai dasar kehidupan bernegara, menjadikan Kristian sekalipun sebagai dasar negara akan tetap mereka tentang. Penulis melihat bahwa ini merupakan suatu helah daripada Barat sekular untuk mengajak dunia umumnya menolak peranan agama dalam kehidupan bernegara, sehingga setiap anjuran untuk kembali kepada agama akan dilabel dengan istilah-istilah yang bersifat pejoratif dan tidak enak didengar. Mengikut kepada Roger Garaudy,[71] sikap seperti ini pun sebetulnya dapat juga disebut sebagai fundamentalisme, yaitu fundamentalisme sekular.
KESIMPULAN
Jemaah Islamiyah sebenarnya adalah organisasi dakwah yang berorientasikan politik, bercita-cita hendak mendirikan negara Islam di Asia Tenggara. Sepeninggalan Abdullah Sungkar, JI terpecah menjadi dua bahagian : Yang pertamanya, adalah kelompok moderat yang lebih menekankan pada perjuangan dengan cara Islamisasi dari bawah dan memanfaatkan peluang politik yang ada; dan yang keduanya, adalah kelompok berhaluan keras yang cenderung menggunakan tindak kekerasan, bahkan keganasan bagi mencapai tujuan. Oleh itu, tidaklah adil untuk mengatakan bahwa JI adalah organisasi teroris, hanya karena sekelompok kecil anggotanya melakukan tindakan keganasan.
Penulis - Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Mahmud
Penulis - Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Fikri Mahmud
No comments:
Post a Comment