Thursday, 15 November 2012

MEREKAYASA UMNO


UMNO PERLU MEREKAYASA
UNTUK TERUS MENJADI RELEVAN

Oleh: Kassim Ahmad
19, Oktober, 2012

             UMNO sekarang berusia 66 tahun. Ia lahir pada 1946 dari suatu gerakan massa Melayu menentang rancangan penjajahan langsung Inggeris ‘Malayan Union’ selepas Perang Dunia Kedua. Dari 200 orang wakil dari 41 persatuan Melayu (termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang kemudian keluar; PAS menyerpih dari UMNO kemudian) di seluruh Malaya yang hadir dalam Kongres Melayu Ke-3, UMNO tumbuh subur, mengepalai gerakan dan mencapai kemerdekaaan Malaya pada 31 Ogos, 1957, menubuhkan kerajaan-kerajaan Perikatan sejak 1951 dengan MCA dan MIC dan kemudian, sejak 1970, kerajaan-kerajaan Barisan Nasional, kecuali di Kelantan, hingga UMNO merosot dan rebutan kuasa berlaku, dan dalam Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008 UMNO-BN kalah kepada Pakatan Rakyat apabila beberapa negeri jatuh ke tangan mereka.
            Keahlian UMNO 3.4 juga sekarang nyata tidak berguna jika rebutan kuasa dan jawatan telah menyebabkan timbul musuh dalam selimut. Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008 telah membuktikan bahawa tidak semua ahli UMNO menyokong UMNO lagi. Sesuatu operasi besar perlu dilakukan terhadap batang-tubuh UMNO untuk menyegarkannya dan menyuntik darah baru supaya ia kuat kembali. Operasi ini perlu  untuk membolehkan UMNO terus menjadi teras dan sokoguru bangsa dan tamadun Melayu.
            Sesetengah generasi muda yang tidak tahu sejarah menuduh UMNO sebagai  perkauman atau rasis, semata-mata kerana UMNO itu Melayu.  Mereka jahil bahawa manusia itu dijadikan Tuhan pelbagai bangsa. Kebangsaan itu fitrah manusia. Yang menjadikan sesuatu bangsa itu perkauman kerana  melebihkan bangsanya mengatasi bangsa-bangsa lain serta dibenarkan menindas bangsa-bangsa lain, seperti  orang Yahudi, yang mendakwa mereka “bangsa terpilih”!
            Memang betul kita menuju ke arah sebuah bangsa Malaysia. Proses ini akan mengambil masa sedikit,  sekurang-kurangnya tiga generasi, 90 tahun. Malaysia baru berusia 48 tahun.
            Parti politik itu seperti kepala keretapi.  Dialah yang menarik beratus gerabak keretapi  yang memuat penumpang dan barang-barang. Tanpa dia, keretapi tidak berguna, tersadai dalam stesyen tidak boleh bergerak ke mana-mana.
Ahli-ahli parti memasuki parti secara sukarela  kerana perjuangan bangsa dan nusa. Tidak siapa memaksa dia. Inilah sifat sebuah perjuangan. Inilah sifat asal UMNO waktu ia ditubuhkan untuk menumbangkan ‘Malayan Union’ dulu.
            Tiap benda hidup akan merosot dan mati. Demikian juga yang terjadi kepada UMNO. Setelah mencapai kemerdekaan, kemewahan mula merosakkan UMNO. Rebutan kuasa, rasuah dan pelbagai bentuk penyelewengan meresap masuk ke dalam batang-tubuhnya, sehingga tiba-tiba parti UMNO dan Barisan Nasional nyaris-nyaris kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12.
            Timbalan Presiden Muhiyuddin Yassin, dalam ucapan perasmian sayap Wanita-Pemuda-Puteri, tahun lalu terpaksa menggesa supaya ahli-ahli UMNO “jangan sabo, jangan boikot, jangan cah keting ...”  Gesaan ini menggambarkan dilema UMNO sekarang.
            UMNO perlu balik kepada semangat perjuangan yang asal. Tanpa apa-apa habuan, ahli-ahlinya sanggup berkorban. Bolehkah ini dilakukan sekarang?
            Jawabnya, boleh. Tiada yang mustahil bagi khalifah Tuhan di Bumi. Tetapi  ia memerlukan  keberanian dan sedikit masa.  Pertama, ahli-ahli parti mesti dididik dengan falsafah dan prinsip-prinsip perjuangan parti. Hanya ahli-ahli yang melalui proses pendidikan ini boleh menjadi ahli parti. Kedua, kader dan pemimpin mesti melalui proses pendidikan yang lebih tinggi untuk melayakkan diri mereka menjadi kader dan pemimpin. Ketiga, semua perkara, termasuk dasar parti dan pemilihan  pemimpin hendaklah dilakukan melalui kaedah perundingan secara demokratik. Keempat, Perhimpunan Agung Tahunan harus dijadikan pentas dan alat untuk menegur, mengkritik dan mencetuskan perubahan dan reformasi, dari atas ke bawah dari bawah ke atas. Perubahan dan reformasi inilah  yang senantiasa akan menyegarkan parti. 
            Ingat sejak timbulnya “politik wang” dalam UMNO, cawangan-cawangan UMNO menjadi milik sesuatu keluarga. Ketua cawangan dan bahagian mahu mencari habuan material, bukan untuk perjuangan bangsa lagi. Orang-orang yang berkaliber dihalang daripada memasuki sesatu cawangan, kerana ketua cawangan takut kedudukannya akan hilang!
            Operasi empat tahap inilah yang perlu dilakukan untuk UMNO pulih menjadi kuat, seperti di peringkat awal. Matlamat inilah yang patut disasarkan oleh pucuk piminan parti, malah oleh seluruh anggota.

No comments:

Post a Comment