Tuesday, 16 October 2012
Singgah Menulis.
Salam kepada semua pengunjung blog Minda Merdeka. Blog yang diaktifkan sebulan masih belum diberi komitmen yang sepenuhnya oleh penulis. Hal ini disebabkan penulis perlu memfokuskan kepada peperiksaan STPM yang akan tiba sebulan lagi. Jadi penulis belum mempunyai isu atau idea untuk dibincangkan malah tidak ada tulisan tulen dari blooger. Kesemua tulisan atau entri yang wujud dalam blog ini hanyalah salinan dari blog blog ternama yang tulisannya sangat bernas,kritis dan kreatif untuk menjana Minda Merdeka.
Penulis berhajat untuk berkecimpung dalam dunia penulisan terutama dalam lapangan politik kerana ia memerlukan akal yang kritikal untuk menilai pergerakan politik di Malaysia. Waktu kepanasan Pilihan Raya sangat mencengkam jiwa rakyat ketika ini. Isu - isu panas akan diutarakan di tengah masyarakat samada ia menguntungkan atau merugikan pihak lawan. Masalah korupsi, penipuan pilihan raya, penyelewengan pendaftaran undian, kebajikan rakyat, wang negara, campur tangan asing, dasar luar negara, pentadbiran, integriti, kemajuan ekonomi,sosial rakyat, program kerajaan akan menjadi bahan perbincangan sensasi. Setiap manifesto parti politik akan diteliti untuk menunjukkan kerelevenan program pada masa hadapan.
Pru 13 ini bagi setiap rakyat merupakan acara yang sengit kerana melibatkan survival bangsa, agama dan negara. Isu Perdana Menteri bukan melayu, negara kristian, hak bumiputera, raja raja sangat membimbangkan sekelompok masyarakat Melayu. Rakyat masih lagi dalam dilema untuk menentukan kerajaan samada BN atau PR. Ini kerana kedua - dua pihak memainkan sentimen fobia terhadap rakyat. Pihak BN akan memainkan isu rasisme, Dap anti Islam, Anwar balaci Yahudi, Satu undi Pr untuk Soros, manifesto pembangkang akan muflis negara manakala PR akan mendendangkan perkara berkaitan Scorpenene, korupsi, pilihanraya kotor, rosmah, dasar negara, Mca anti Islam, Najib takut debat, kerajaan zalim dan sebagainya.
Persaingan seperti ini adalah kunci kepada enjin survival politik masing masing. Penulis melihat kedua dua pihak hanya berselisih tentang isu yang boleh memberi keuntungan politik tetapi tidak kepada rakyat. Lihatlah persidangan Parlimen, ada babak babak yang menunjukkan kredibiliti MP dari parti masing masing. Ada MP yang gemar dengan perbalahan sesama MP tentang soal parti, privasi, projek sedangkan di luar Parlimen masih banyak rakyat yang mengemis mencari sisa makanan, gelandangan bersepah di bandar - bandar, penganggur meningkat, infrastruktur sekolah yang lemah, hospital yang kurang pakar profesional, rakyat yang ibarat pagi makan pagi petang makan petang, dan isu isu hak asasi tidak terjamin malah jenayah semakin melonjak. Sepatutnya MP perlu membahaskan isu ini sekritikal mungkin kerana perkara ini membabitkan soal masa depan negara. Dr Mahathir merencanakan wawasan 2020 ini berobjektifkan untuk menjadi Malaysia maju sebagai autoriti perindustrian sepenuhnya. Wawasan 2020 mempunyai 9 matlamat dan penulis ingin memetik satu dari matlamat tersebut -
Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
Renunglah wahai rakyat Malaysia, harapan Dr Mahathir sangat memuncak, tetapi malangnya segala usaha dan harapan yang diimpikan telah dikhianati oleh para politikus. Isu rakyat semakin menimbun, masalah perpaduan terlalu kronik, gejala korupsi membarah, pelacuran bermaharajalela, murtad berleluasa, jenayah menyerang ketenteraman. PARA POLITIKUS ENAK BEREMPUK DI ATAS KERUSI PARLIMEN .BERBALAH SOAL HABUK ,MEMBUANG EMAS DI LAUT. Harap pembaca faham kiasan penulis. Soal diri masing - masing , adakah ini tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat lain? Bolehkan negara lain ingin mengiktiraf Malaysia sebagai model negara maju disamping masalah instrik atau dalaman negara terlalu kronik.
Marilah para pembaca yang budiman lagi celik intelek, mari kita bebaskan minda dari tawanan syaitan , mari kita bersatu membina negara supaya lebih bersedia ke era 2020 seperti yang diidamkan oleh negarawan kita. Marilah kita berusaha memastikan negara ini bebas dan makmur dari ancaman kuasa imperialis kerana penjajah boleh melakukan segala yang mungkin. Persoalannya, siapa yang layak memajukan negara ini. Jawapannya telah dijawab oleh Hasan Basri apabila mengirim surat kepada Umar ABD Aziz -
Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin negara yang adil itu sebagai tunggak yang menahan sesuatu supaya tidak condong. Ia menjadi sumber rujukan kepada yang apa dirancang, membaiki setiap yang buruk , memperkuatkan yang lemah dan mengembalikan hak kepada dizalimi.
Wahai Amirul Mukiminin, , pemimpin yang adil itu umpama seorang ayah yang penyayang terhadap anaknya, berusaha untuk menjamin kehidupan yang baik dan mengajarnya sehingga besar,berusaha untuk kebaikan di masa ayah itu masih hidup dan menjamin kebaikan setelah ayah itu meninggal dunia
Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu laksana ibu yang penyayang dan pengasih terhadap anaknya,mengandungkan dengan kesakitan ,melahirkan dengan kesakitan. Kemudian menjaga dengan kesusahan, berjaga malam bersama sama, timggal bersama sama, menyusu dan melepaskan susu dengan rasa kasihan. Ibu bergembira jika anak sihat dan merasa sakit jika anaknya sakit.
Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu laksana penjaga anak yatim, penjaga barang barang oran miskin, mendidik anak anak mereka dan membekalkan kepada orang dewasa.
Pemimpin yang adil itu wahai Amirul Mukminin, laksana hati dalam jasad, jika baik maka baiklah kesemua anggota jika buruk maka semuanya menjadi buruk.
Pemimpin yang adil itu wahai Amirul Mukminin laksana orang yang berada di hadapan Allah. Dia mendengar firman Allah dan memperdengarkan kepada rakyat ,mengikut perintah Allah dan memimpin rakyat supaya bersamanya.
Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau menjadi orang diberi milik kepadanya oleh Allah seperti hamba yang diberi amanah oleh tuannya supaya menjaga harta dan keluarga, tiba tiba dia menggunakan harta itu dengan boros dan membiarkan keluarganya dalam kemiskinan.
Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menurunkan hukum hudud supaya mencegah keburukan dan kekejian akhlak . Apakah akibatnya sekiranya orang yang menguruskan melakukan kekejian dan keburukan. Allah menurunkan hukum qisas untuk memelihara hambanya maka bagaimana orang yang membunuh ialah orang yang ditugaskan melaksanakan hukum qisas itu.
Wahai Amirul Mukminin, ingatlah kepada mati dan perkara yang berlakunya selepasnya. Nyatakan kepada mereka azab seksa dan huru hara selepas kematian.
Ketahuilah wahai Amirul Mukminin,bagimu ada suatu tempat yang lain daripada tempat kamu ada sekarang. Tempat kamu perlu menunggu jangka masa yang panjang dan keseorangan. Nyatakanlah kepada mereka
" Hari melarikan diri daripada seseorang itu oleh saudaranya,ibunya, ayah, isteri, dan anak anaknya. ( Surah Abasa)ayat 34- 36.
Ingatlah wahai Amirul Mukminin bahawa kamu berada di dalam tempoh waktu sebelum kamu tiba ajal dan putusnya cita cita. Janganlah kamu melaksanakan hukum dengan hukuman hamba Allah dan memerintahnya dengan hukum hukum jahat.
Jangan memerintah mereka dengan mengikut orang orang jahil dan janganlah engkau memberi kuasa kepada orang orang yang sombong dengan menindas orang lemah.
Kamu sendiri memikul bebanan dosa kamu bersama dosa yang lain. Janganlah kamu tergoda dengan nikmat yang membawa celaka kepadamu. Mereka memakan yang baik baik untuk menghilangkan kebaikanmu di akhirat.
Jangan kamu memandang kuasa kedudukan kamu pada hari ini tetapi pandanglah kepada hari esok semasa kamu berada di tali tali kematian,di hadapan Allah dan ditengah khalayak ramai seperti para malaikat, nabi nabi dan rasul rasul. Hendaklah kamu bersikap merendah diri dan ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya.
Sekian saja wahai Amirul Mukminin ,tidak luput daripada saya perasaan kasih sayang kepadamu dan untuk memberi nasihat. Ketahuilah setiap ubat tidak sedap tetapi ubat itulah yang menyembuhkan dan memberi kesihatan .
Hasan Basri.
Semoga surat yang ditulis oleh Hasan Basri kepada Khalifah Umar Abd Aziz ini memberi teladan yang baik kepada kita untuk memilih pemimpin yang baik agar mencapai konsep
" Negara aman makmur dan Tuhan Maha Pengampun" (Surah Saba)15.
MINDA MERDEKA.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment