Tuesday, 30 October 2012

Keramat Sekeping Kertas



Selaras dengan perkembangan teknologi maya sebagai media alternatif, medium ini digunakan dengan pelbagai tujuan untuk kepentingan tertentu antaranya perniagaan atau e - dagang yang hanya menggunakan kekunci laptop atau telefon bimbit dalam menjana keuntungan lumayan. Aspek permohonan kerja SPA atau kerajaan juga menggunakan wadah ini bagi memantaskan proses pengisian kerja kosong. Aliran politik tidak ketinggalan dalam mengeksploitasi ruang siber ini untuk berhubung dengan warga maya dalam usaha mencari pengaruh politik malah tidak keciciran kelompok agamawan yang menjadikan lapangan kemajuan ini sebagai landasan pengembangan dakwah Islamiyah.

Memang tidak dinafikan, perkembangan ini telah menguntungkan banyak pihak untuk mencari sumber rezeki secara halal ataupun haram. Penulis - penulis blog juga menggunakan kesempatan ini memberi maklumat kepada pembaca tentang isu isu berbangkit sekaligus memanfaatkan untuk mencari punca rezeki.. Pihak penerbit juga mempromosi bahan bacaan terbitan mereka untuk meningkatkan jualan dan kelumayanan mereka. Buku buku terbaru yang diiklankan dalam internet akan mendapat liputan meluas dan membuka ruang kepada pesanan pelanggan yang tinggi.  Ini satu perkembangan positif apabila masyarakat Malaysia sudah mempunyai aura kesedaran tentang kepentingan membaca.  Seiringan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al Alaq, Bacalah dengan nama Tuhanmu, gerakan penerbitan dan penulisan giatkan dirancakan dengan penerbitan pelbagai judul menarik . Industri perbukuan telah menjadi perhatian massa dan kemunculan PTS telah memecahkan tradisi kepada perbukuan moden.

Belakangan ini, desas desus untuk menggunakan ruang lingkup internet sebagai wadah menjual karya sangat membanggakan. Walaubagaimanapun perkara ini mempunyai kesan negatif dalam waktu jangka panjang. Hal ini kerana karya yang dijual di alam siber bukannya sekadar promosi kulit buku tetapi menjual karya secara lengkap dengan kaedah digital.  E - Buku ini tidak dicetak di atas kertas tetapi kita perlu membaca di atas skrin laptop ataupun tablet. Satu sudut memang ia menunjukkan kecanggihan dan kemodenan serta kesenangan ( convinence) kerana pembaca tidak perlu keluar ke kedai buku untuk membeli sebaliknya hanya menempah dari penulis melalui internet sahaja. Masa tidak terbuang dan tenaga badan dijimatkan. 
Dari sudut lain pula ia akan merugikan banyak pihak. kerana syarikat buku , pencetak , penerbit, pengedar mungkin akan mengalami kerugian yang kronik kerana saham niaga akan jatuh merudum . Syarikat buku akan rugi dari sudut keuntungan kerana tidak ada pelanggan yang datang membeli buku malah keuntungan syarikat tidak meningkat. Pencetak pula berpeluang untuk berhadapan dengan kebankrapan disebabkan tiada bahan untuk dicetak . Syarikat kertas juga akan mengalami krisis kerana permintaan kertas berkurangan kerana tidak ada lagi buku penulisan ilmiah akan dicetak kerana semuanya telah menjurus ke arah kemodenan arus jalur lebar yang lebih mudah. Penggunaan kertas akan berkurangan disebabkan pencetak mengalami kerugian dan mungkin muflis kerana tiada sambutan atau keuntungan perniagaan di syarikat buku. Tiga institusi ini mempunyai pertalian yang rapat dan jika salah satu dari syarikat ini mengalami masalah maka ketiga tiga juga berhadapan dengan masalah

Penulis hanya memberi pandangan dan kemungkinan salah atau betul. Penilaian itu terpulang kepada pembaca untuk mengkritik. Penulis tidak menafikan arus perkembangan teknologi internet tetapi sekiranya ia memberi kesan kepada aset negara yang tidak ternilai iaitu buku dengan pengancaman melalui internet seperti yang dijelaskan maka penulis akan memberi sokongan padu kepada industri buku. Satu tulisan dari Utusan Malaysia kolumnis Zin Mahmud  yang bertajuk E- BUKU membebaskan rumah dari timbunan kertas memerihalkan tentang nasib si ulat buku yang sering dimarahi oleh isteri kerana koleksi buku disusun hingga memakan banyak ruang rumah. Zin Mahmud juga menulis bahawa  " Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga ulat buku. 
Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak buku. Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba." 

Persepsi Zin Mahmud ada benarnya tetapi teknologi E - BUKU tidak akan bertahan lama. Ini kerana suasana globalisasi yang sering berubah hingga mendesak teknologi untuk diwajah selaras dengan perjalanan massa. Contohnya suatu masa dahulu produk telefon bimbit Nokia yang berjenama 3310 amat popular dalam kalangan masyarakat . Kini dengan perjalanan masa yang pantas telah mencorak teknologi menjadi lebih mudah dengan kemunculan telefon bimbit sentuh skrin yang tidak mempunyai kekunci. Kemunculan produk komunikasi berjenama tablet atau Ipad juga adalah contoh bahawa teknologi akan berubah bersesuaian dengan kehendak manusia. E- Buku mungkin tidak sesuai dalam masa akan datang . Orang lain berpandangan bahawa pengenalan teknologi E - Buku memudahkan orang ramai untuk membaca malah kualitinya terjamin kerana tidak reput disebabkan ia bukan kertas tetapi skrin digital. Penulis memang menafikan hujah tersebut dengan fakta bahawa kaedah E- Buku memerlukan alat seperti laptop yang memerlukan tenaga elektrik dan harus ada kelengkapan lain untuk mengelak risiko tinggi. E- Buku mendorong pembaca untuk membeli melalui proses transaksi di Internet dan berpeluang berhadapan dengan sindiket penipuan siber dan akan menghilangkan keyakinan pembaca untuk membeli E - karya itu . E- Buku mungkin tidak mendapat rating yang tinggi kerana golongan veteran tidak dapat membaca kerana buta IT  serupa dengan penduduk luar bandar yang ramai menghadapi masalah buta IT. Teknologi E- Buku juga sukar untuk dijadikan harta kerana ia tidak dapat diwariskan kepada ahli keluarga berpunca dari perubahan kemodenan dan teknologi.

Buku bercetak mempunyai banyak kelebihan kepada warga manusia. Antara contoh kelebihanya ialah kualiti ketahanan yang lama. Kitab atau buku berkertas dapat menjamin ketahanan kerana tidak mudah dijejas dengan segala kaedah kecuali dibakar. Lihatlah kitab agung AL QURAN dicetak pada zaman Khalifah Uthman Bin Affan masih kekal dengan Resam Uthmani disebabkan tulisan di atas kertas yang memberi manfaat kepada orang ramai untuk menatapnya sehingga ke saat ini hasil dari kelebihan bahan bercetak kertas. Karya - karya ulama Islam seperti Kitab Al Muwatta ( Imam Malik ) Al Musnad ( Imam Syafie ) Kitab Muslim dan bukhari masih ditatap sehingga kini kerana kuasa dan kelebihan yang Allah beri kepada sekeping kertas. Kertas berasal dari pokok. Pokok merupakan ciptaan Allah. E - Buku adalah garapan dan daya ciptaan manusia, ia tidak kekal.Tulisan mungkin hilang. Buku berkertas dapat diwaris atau dijadikan hadiah cenderamata kepada sesiapa sahaja malah buku yang baik membuka pintu pahala yang berganda menjana barakah ummah. Itu sekiranya dilihat dari sudut agama. 

Buku berkertas boleh dibawa dimana sahaja . Pembaca boleh membaca di atas bas, dalam kereta, atas katil, tempat kerja, waktu rehat, stesen bas, keretapi, kapal terbang, sebaliknya E - Buku tidak boleh berperanan seperti buku berkertas. Buku berkertas boleh dibawa dimana sahaja dan boleh ditatap pada bila bila masa walhal E -Buku sekiranya kehabisan tenaga bateri sudah tidak boleh dibuka atau sesuatu kerosakan teknikal terjadi di lapton atau skrin, ia telah mengendalakan aktiviti membaca. Buku berkertas tidak perlu caj elektrik . Sukar untuk rosak dan kekal lama. Perubahan suasana tidak akan menjejaskan kertas walaupun telah warna kertas telah lapuk tetapi masih mampu dibaca dan dikoleksikan .  E- Buku jika lapuk tidak akan di baca lagi malah lenyap dari kemodenan dunia. Sulalatus Salatin mampu bertahan sehingga hari ini disebabkan percetakan kertas yang maju dan semua orang sastera memilikinya. Buku berkertas yang lama boleh dijual dan dijadikan bisnes buku terpakai . Contohnya di Chowrasta Pulau Pinang, ada yang menjual buku buku terpakai dan kitab kitab lama yang boleh dimanfaat lagi. Penulis telah mendapatkan sebuah buku lama yang bertajuk Mustafa Kamal Ataturk - Bapa Pembangunan Turki Moden. Segala info tentang Sultan Uthmaniyah dan kejahatan Attaturk ditulis dalam buku itu.  Lihatlah sekiranya tiada buku berkertas dan hanya mengharapkan E - Buku, sudah tentu penulis sukar mengetahui tentang Attaturk . Selain itu, buku berkertas lama dapat dijadikan sumber rezeki kepada penjual . E -Buku hanya menguntungkan pihak penulis.

Penulis bukanlah anti kemodenan tetapi buku adalah kegemaran penulis, ahli ilmu mengilmukan masyarakat melalui penulisan buku .  Ancaman kepada industri buku bererti pembunuhan jiwa pencinta buku. Pembaca yang bijak akan memelihara buku dan mewariskan kepada anak cucu kelak. Penulis hanya merungkaikan kelemahan E - Buku berdasarkan kefahaman penulis. Sekiranya salah fakta, penulis memohon maaf .  Kecintaan kepada buku mendorong penulis untuk menulis di blog ini. Artikel ini tidak akan dibaca oleh golongan profesor, tidak dibaca oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak dibaca oleh penulis blog lain, tidak dibaca oleh Perdana Menteri, tidak dibaca oleh pihak Popular, Borders apatah lagi kedai ISLAMIC BOOK CORNER  yang baru dibuka di Bukit Jambul . Tulisan ini adalah luahan kebimbangan penulis kepada nasib buku di masa depan . Mungkin penulis dan pecinta buku lain tidak dapat memegang buku secara konkrit dan hanya menatap buku skrin di jendela laptop sahaja. Walaupun teknologi ini masih asing di Malaysia tetapi perubahan minda manusia boleh melakukan segala yang mampu .  Kertas buku banyak berjasa kepada manusia. Kertas buku adalah rumah ilmu, alat ilmu dan paparan ilmu. 

Penulis berharap huraian yang dibangkitkan ini tidak menguriskan mana mana pihak. Kita boleh bincang secara ilmiah. Kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Reaksi emosi negatif bukanlah kriteria ahli ilmu. Penulis meminta kerajaan ( jika membaca artikel ini ) supaya menggiatkan lagi aktiviti membaca dan mempertahankan tradisi percetakan buku berkertas supaya terus gah mendada gelora zaman. 




Sunday, 28 October 2012

20 strategi berdakwah kepada bukan Islam





Sepertimana yang telah kita sedia maklum, hampir separuh penduduk negara kita adalah kalangan bukan Islam. Majoriti penduduk bukan Islam adalah terdiri daripada kaum Cina iaitu 25 peratus daripada pertumbuhan penduduk Malaysia, wakili hampir 6.5. juta. Statistik Jabatan Agama seluruh negara juga menunjukkan bilangan yang paling ramai memeluk Islam adalah terdiri daripada kaum Cina. Rata-rata kaum Cina pada hari ini boleh dikatakan tidak mempunyai agama. Kalau adapun pegangan agamanya agak longgar. Agama pada mereka hanyalah menjadi warisan nenek moyang mereka. Mereka tidak tahu sebenarnya apa yang disembah. Maka, tidak hairanlah ramai yang telah memilih dan memeluk agama lain terutama agama Kristian.

Justeru, dakwah perlu diberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran ini kerana berdasarkan kepada pengalaman, golongan ini amat mudah menerima agama Islam. Persoalannya, kenapa mereka tidak memilih agama Islam? Sedangkan agama kita mempunyai kekuatan yang lebih hebat berbanding agama lain. Semua ini berpunca gambaran yang cetek tentang Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu atau orang Arab. Lebih menyedihkan, agak kurang contoh-contoh positif yang pada golongan ini yang boleh mencerminkan sifat positif Islam yang sebenar.

Justeru, dalam usaha untuk menarik mereka untuk memilih/memeluk Islam atau sekurang-kurang menghormati agama Islam, maka usaha-usaha hendak dilakukan bagi mencapai hasrat murni ini. Pendekatan dakwah terbahagi kepada 2 iaitu, dakwah secara langsung (direct) dan dakwah secara tidak langsung (indirect). Dakwah yang paling berkesan dan berbisa ialah dakwah secara tidak langsung atau indirect. Ini kerana ia tidak menampakkan sifat untuk mengIslamkan mereka, tetapi ia lebih menonjolkan kecantikan dan keindahan Islam atau dakwah bil hal. Dakwah ini yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang telah berjaya memikat hati bukan Islam pada pada ketika itu.

Dakwah hari ini perlu mengfokuskan kepada perkara yang dapat mengurangkan prejudis masyarakat Cina terhadap agama Islam yang suci, mempamerkan keindahan dan kecantikan Islam dan menarik perhatian bukan Islam untuk memeluk Islam

Antara program-Program dan modus operandi adalah dakwah melalui penampilan imej. Imej dakwah yang dimaksudkan adalah imej bangunan pertubuhan dakwah.

Imej bangunan dakwah di seluruh negara mesti mempunyai orientasi dakwah, apatah lagi badan Dakwah, institusi pengajian tinggi dan jabatan agama. Dinding Bangunan tersebut hendaklah ditulis dalam bentuk tulisan pelbagai bahasa agar dapat menarik perhatian pandang pertama. Bahasa Melayu hendaklah pertamanya didaulatkan.

Kata-kata yang perlu dituliskan ialah
Welcome to Islam (Melayu, Mandarin, English, Tamil)
There is no Compulsion in Religion (Mandarin, Tamil, Melayu, Inggeris)
Tulisan ini hendaklah diletakkan didinding bangunan badan dakwah di mana ia boleh dilihat dengan jelas oleh pejalan kaki dan kenderaan yang lalu lalang di situ bagi memboleh mereka singgah berehat untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Bahagian dalam pejabat itu juga hendaklah turut menggantung poster-poster, seni khat dan tulisan-tulisan bangsa-bangsa lain yang lebih awal memeluk Islam (Cina dan India).

Kedua, dakwah melalui penyelidikan. Dakwah melalui hasil-hasil penyelidikan adalah antara alat yang paling berkesan untuk meyakin masyarakat Cina terhadap Islam. Melalui penyelidikan atau seminar-seminar, ia dapat dapat menunjukkan keadaan sebenar sesuatu perkara itu. Apatah lagi sekiranya penyelidikan itu menyentuh soal pengaruh Islam di Nusantara termasuk Malaysia 600 tahun lalu. Misalnya menganjurkan Seminar/ Bengkel/ Dialog berkaitan Sumbangan Orang Cina terhadap Perkembangan Islam di Nusantara Antara tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah Islam di China: Sejarah dan perkembangan, sejarah kedatangan Islam ke Nusantara oleh Orang Cina, kupasan hadis/kata-kata sahabat “Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina” dan sebagainya.

Ketiga. seminar Kefahaman Agama dan Budaya. Oleh kerana banyak kekeliruan yang timbul apabila seseorang itu memeluk Islam seperti istilah ‘masuk Melayu’, maka seminar ini hendaklah juga dianjurkan terutama sasarannya kepada ahli-ahli badan dakwah. Seminar ini bertujuan untuk mendedahkan bahawa saudara baru masih kekal dengan identitinya bangsa walaupun telah memeluk Islam selagi mana adapt budayanya tidak bercanggah dengan Islam. Identiti Saudara Baru dan Pengamalan Adat Budaya:

Keempat, dialog antara agama (Interfaith Dialogue). Tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah Semua agama adalah sama? Persamaan dan Perbezaan, Perpaduan dari sudut agama-agama dan toleransi dari perspektif agama-agama

Kelima, dialog peradaban. Tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah konfucianisme/ Toisme/ Buddhisme/ Tsun Tzu/ Lao Tzu.

Keenam, dakwah melalui pameran Antara pameran-pameran yang boleh menarik perhatian orang Cina adalah, pameran Islam di China/ Sejarah Kedatangan Islam Melalui Tanah Arab dan India

Dakwah melalui pameran bahan-bahan sejarah tentang perkembangan Islam amat berkesan untuk menarik perhatian orang ramai. Apatah lagi tentang perkembangan Islam di China yang telah menjangkau 1200 tahun yang lalu. Di Malaysia, kedatangan Islam lebih lewat berbanding negara lain yakni lebih kurang 600 tahun. Jika pameran Islam di China ini dapat diadakan di ruang legar sesuatu bangunan, pastinya ia akan dapat menarik minat dan perhatian para pengunjung Cina bukan Islam dan lain-lain kaum juga, terutama pejalan kaki dan sebagainya. Ia hendaklah dibuat secara professional dengan ada unsur-unsur kesenian dan budaya kaum. Pameran ini boleh juga dipelbagaikan dengan turut sama mengadakan Rawatan Akupuntur, pameran Herba-herba dari negeri China dan sebagainya. Selain itu juga, pameran ini juga turut melibat perkembangan atau kedatangan Islam melalui India, Arab dan sebagainya. Muzium Negara telah menganjurkan pameran sebegini dan sambutan amat menggalakkan.

Ketujuh, dakwah melalui makanan. Strategi dakwah melalui makanan amat berkesan dalam usaha untuk menarik minat orang bukan Islam mendekati Islam dan dapat mengurangkan prejudis mereka. Program ‘halal food for all’ atau makanan halal untuk semua hendaklah diberikan perhatian sewajarnya. Tujuan program halal ini ketengahkan ialah untuk menerangkan bahawa makanan halal ini adalah bersih dan suci, serta memberikan kefahaman bahawa makanan halal bukan sahaja untuk orang Islam tetapi untuk semua lapisan masyarakat.

Kelapan, dakwah melalui bahasa. Satu jabatan khas bahasa asing hendaklah diwujudkan dalam sesebuah badan dakwah. Badan ini akan bertindak untuk menterjemah dan menganalisis isu-isu berkaitan Islam. Akhbar-akhbar Cina/tamil hendaklah dilanggan setiap hari. Isu-isu berkaitan Islam yang dimuatkan dalam akhbar tersebut hendaklah dikaji. Sekiranya ada kekeliruan, maka ia boleh dihantar kepada akhbar terbabit untuk tujuan penerangan Islam dari kaca mata yang benar.

Contoh-Contoh isu-isu yang boleh dibincangkan ialah isu-isu yang timbulkan kekeliruan seperti perceraian melalui SMS, 11 September, poligami dan sebagainya. Jabatan ini juga boleh bertindak menterjemahkan segala artikel berkaitan Islam dalam pelbagai bahasa dan menganalisis tulisan-tulisan yang mengelirukan. Badan ini juga akan bertemu dengan pelanggan-pelanggan yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk menerangkan Islam kepada mereka.

Kesembilan, dakwah melalui media cetak, media elektronik, internet. Media Cetak – Akhbar/ Majalah. Sasarannya adalah akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Tamil. Berdasarkan pengalaman, akhbar ini bersedia untuk menerima artikel-artikel yang ringan berkaitan Islam untuk disiarkan dalam akhbar mereka seperti Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh, China Press dan lain-lain. Pertubuhan Dakwah boleh menggunakan tenaga pelajar-pelajar Islam dari negeri Cina yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa bagi memenuhi tuntutan ini.

Kesepuluh, mencetak al-Quran versi Mandarin, Tamil dan lain-lain bahasa. Seperti yang kita maklum, al-Quran versi Inggeris dan Melayu telah banyak di pasaran. Kita masih kekurangan versi mandarin dan tamil. Sudah sampai masanya, al-Quran terjemahan dalam bahasa bangsa-bangsa di negara kita diperbanyakkan. Ini termasuk juga mencetak risalah-risalah Islam yang pendek (ringan) untuk diedarkan dikaunter-kaunter awam seperti supermarket, majlis perbandaran, PBT dan sebagainya. Antara tajuk-tajuk artikel yang sesuai diterbitkan dalam bahasa-bahasa lain adalah What is Islam, Islam di China, Islam our Choice, dan lain-lain. Di samping itu, kita boleh juga mencetak Sticker kenderaan versi pelbagai bahasa. Dakwah melalui sticker kereta juga boleh dilakukan untuk menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat. Ayat-ayat al-Quran yang pendek dan bersesuaian boleh dicetakkan seperti tidak ada paksaan dalam agama, surah al-Baqarah.

Kesebelas, dakwah melalui media elektronik. Satu perbincangan khas hendaklah dibuat dengan stesen-stesen TV dan radio di negara kita untuk mendapatkan beberapa slot khas misalnya, TV1,TV2, TV3, NTV7, TV8 dan TV9. Isu-isu yang boleh dibincangkan berkaitan isu-isu agama Islam yang disalahfahamkan dan isu-isu semasa kontroversi yang memerlukan penerangan dari perspektif Islam. Stesen-stesen tv ini janganlah terlalu bersifat komersial, terutama stesen tv swasta. Sudah sampai masanya kita berfikir untuk memanfaat alat ini demi kepentingan masa depan agama dan dakwah.

Keduabelas, kita sedia maklum bahawa setiap pertubuhan Dakwah telah mempunyai laman Web sendiri. Laman Web ini perlu diperkemas dan dipelbagai terutama dari sudut bahasa. Pelbagai bahasa-bahasa hendaklah turut dimasukkan ke dalam laman web.

Ketiga belas, dakwah melalui sambutan perayaan yang tidak bertentangan dengan Islam. Dakwah ini juga dikira amat strategik dan berkesan. Antara perayaan besar negara yang perlu disambut oleh jabatan agama dan pertubuhan dakwah dengan melibatkan jemputan pelbagai kaum ialah sambutan bulan puasa, hari raya puasa, hari raya Quran, tahun baru Cina, pesta tanglung (Moon Cake Festival), dan sebagainya. Acara-acara yang boleh diselitkan adalah jamuan makan melibat jemputan parti politik dan NGO-NGO bukan Islam. Aturcara jamuan tersebut boleh diselitkan program kefahaman Islam, forum antara budaya dan persembahan lagu-lagu memuji tuhan dalam pelbagai bahasa dan sebagainya.

Keempatbelas, dakwah melalui kerja-kerja sukarela sepeti gotong royong, rukun tetangga. Badan dakwah hendaklah bergerak aktif dalam menyertai kerja-kerja amal dan gotong royong. Secara tidak langsung kita dapat mempamerkan Islam amat menggalakkan kerja-kerja amal dan sukarela. Begitu kempen-kempen (kempen anti-denggi, kempen anti dadah dll) yang dianjurkan oleh badan amal/politik bukan Islam. Melalui pengalaman, penyertaan dalam aktiviti kempen ini amat berkesan untuk mempamerkan keindahan Islam secara indirect.

Kelimabelas, dakwah melalui lawatan. Misalnya, menerima lawatan orang bukan Islam ke tempat-tempat penting dan bersejarah Islam. Misalnya, masjid negara, masjid Wilayah dan masjid Negeri Selangor sentiasa menjadi tumpuan pelawat-pelawat dari dalam dan luar Negara. Peluang ini hendaklah digunakan untuk menyampaikan Islam secara tidak langsung kepada mereka. Selain daripada lawatan, badan dakwah dan pejabat agama boleh ambil kesempatan ini untuk menerangkan kepada mereka berkaitan isu salah tanggap terhadap agama Islam dan fungsi masjid dalam Islam. Elok juga ditubuhkan unit khas di tempat-tempat bagi tujuan menerangkan Islam secara lebih berkesan melalui pelbagai bahasa yang mudah difahami

Keenambelas, dakwah lawatan keluar. Program lawatan keluar tidak kurang pentingnya dalam dakwah. Inilah juga yang telah dilakukan oleh missionari Kristian. Justeru, lawatan-lawatan keluar perlu diperhebatkan terutama menjelang musim perayaan. Contohnya, lawatan ke rumah orang tua, hospital, Pusat Serenti, penjara dan tidak ketinggalan ziarah keluarga tidak Islam saudara-saudara baru. Lawatan juga perlu dibuat terhadap individu-individu tertentu seperti anak Tun HS Lee yang telah memeluk Islam dan dipenjarakan selama 8 tahun atas kesalahan tertentu. Begitu juga lawatan sambil belajar ke pejabat pertubuhan bukan Islam seperti Persatuan Cina atau India Malaysia, dan NGO-NGO mereka yang lain.

Ketujuh belas, dakwah Melalui Misi Bantuan Kemanusiaan (mangsa perang, mangsa banjir, kebakaran, kemiskinan dan lain-lain). Badan dakwah sepatutnya mendahului NGO-NGO yang lain dalam soal misi bantuan kemanusiaan. Inilah dakwah-bil-hal yang paling berkesan dan mudah untuk dilakukan untuk ditunjukkan kepada masyarakat bukan Islam dan antarabangsa. Misalnya, misi bantuan kemanusiaan mangsa perang Iraq, Afghanistan, mangsa kebakaran, mangsa banjir, tsunami dan sebagainya. Bantuan ini hendaklah menjangkaui agama dan bangsa, tidak kira dunia Islam atau tidak. Bantuan-bantuan yang boleh diberikan adalah berupa khidmat sukarela, wang tunai, pakaian terpakai, dan sebagainya.

Saya mencadangkan setiap pertubuhan dakwah dan jabatan agama menubuhkan sebuah pasukan khas hendaklah ditubuhkan dalam menangani dan bertindak terhadap isu-isu ini. Badan dakwah dan pertubuhan agama mungkin juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada. Paling baik, badan dakwah mempunyai identiti sendiri untuk memudahkan proses dakwah. Bila ada sesuatu bencana berlaku, maka badan dakwah yang paling terkehadapan. Sudah tentu kerja-kerja ini akan mendapat publisiti dalam akhbar-akhbar tempatan termasuk akhbar pelbagai bahasa. Perbincangan boleh dibuat dengan badan-badan yang berpengalaman seperti MERCY MALAYSIA iaitu bagaimana menonjolkan badan-badan dakwah ini dalam misi bantuan kemanusiaan.

Kelapan belas, dakwah melalui penubuhan pusat kebudayaan seperti Masjid Cina Muslim (Chinese Muslim Cultural Centre). Idea penubuhan masjid Cina Muslim Malaysia telah disuarakan sekian lama, malangnya masih lagi tidak menjadi realiti. Pusat ini bertujuan bagi menarik masyarakat bukan Islam mendekati Islam secara indirect. Ia juga dapat menangkis tanggapan yang menyatakan Islam agama orang Melayu atau orang Arab. Tidak ada nas atau hujah kuat yang mengatakan bahawa membina masjid mesti berkubah. Adakah salah membina masjid menggunakan reka bentuk bangsa lain? Ini perlu difikirkan dengan serius.

Kesembilan belas, dakwah melalui seni atau hiburan. Lagu-lagu nasyid atau yang Islamik elok juga dinyanyikan dalam versi pelbagai bahasa. Misalnya, langkah kumpulan Raihan menghasil satu lagu berbahasa mandarin bertajuk ‘Ching Ai’ yang sering berkumandang di corong radio dan televisyen. Lagu ini adalah ciptaan seseorang yang masih belum Islam. Lagu ini sesuai untuk dimain dimajlis-majlis makan malam, aktiviti aktiviti badan dakwah yang melibatkan bukan Islam.

Dakwah melalui lagu ini boleh diperhebatkan dengan cara badan dakwah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan nasyid tertentu atau penyanyi bukan Islam untuk mereka merakamkan beberapa lagu versi mandarin yang membawa makna dan imej yang baik. Lagu-lagu ini boleh disiarkan sebagai video klip di stesen-stesen TV seluruh Negara dan juga stesen-stesen radio mandarin. Peluang-peluang ini juga boleh digunakan untuk menerangkan konsep hiburan dari perspektif Islam. Contoh, pentingnya lelaki dan perempuan dipisahkan ketika mengikuti sesuatu konsert atau program hiburan

Akhirnya, dakwah melalui jemputan ceramah. Badan dakwah seharusnya mempunyai ‘think tank group’ yang boleh diketengahkan bila diperlukan terutama apabila menerima jemputan daripada organisasi luar berkaitan isu-isu yang memerlukan penjelasan mengenai Islam. Think tank ini akan bertanggungjawab untuk melakukan penyelidikan dan berbincang mengenai isu-isu dakwah dan isu semasa yang menguntungkan Islam.

Ahli-ahli badan dakwah mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, hendaklah digembelingkan kekuatan mereka demi kepentingan dakwah di negara kita. Melalui pengalaman, saya telah beberapa kali dijemput oleh pertubuhan-pertubuhan bukan Islam , untuk memberikan ceramah kefahaman Islam kepada mereka. Hasilnya amat membanggakan. Secara tidak langsung, dakwah dapat disampaikan kepada mereka secara berhikmah dan mereka dapat menerimanya.

Saya percaya jika cadangan ini dapat diberikan perhatian yang serius, saya yakin dakwah Islamiyah akan berkembang tanpa mengorbankan prinsip dan jati diri kita sebagai orang Islam. Walaupun, program yang dikemukakan ini kelihatan banyak, tetapi ia boleh dilakukan sedikit demi sedikit mengikut keutamaan.

Perlu diingatkan bahawa apabila strategi ini dilaksanakan bukan bermakna kita akan dapat lihat hasilnya secara mendadak. Apa yang lebih utama bukanlah bilangan pengIslaman yang kita harapkan, tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk mengikis salah tanggap terhadap Islam. Kita yakin jika salah tanggap dan prejudis ini dapat dikurangkan maka akan bertambah ramailah kuantiti dan kualiti yang akan memeluk Islam

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Saturday, 27 October 2012

MERDEKA : Kenapa, Tak Percaya?

Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh tujuh, hari yang mulia, hari bahagia, sambut dengan jiwa yang merdeka!” Begitulah antara senikata salah sebuah lagu patriotik yang kerap berkumandang di corong-corong radio di sepanjang bulan ini (Ogos) - bulan yang lebih dikenali sebagai ‘Bulan Kemerdekaan’. Di samping itu berbagai acara akan dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta untuk meraikan bulan keramat ini. Bermula dengan kempen Kibarkan Jalur Gemilang yang bermula pada malam 17hb Ogos 2005 yang pelancarannya telah dilakukan di Danga Bay, Johor Bahru. Upacara ini telah dirancakkan dengan kehadiran Mawi (juara AF3) yang berduet bersama diva popular tanah air, Siti Nurhaliza bersama para pemimpin negara. Ia akan berakhir pada pagi 31hb Ogos 2005 dengan upacara Perarakan Hari Kebangsaan Yang Ke-48 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Di pihak swasta pula, masing-masing akan mengambil kesempatan dari mood perayaan ini dan Karnival Membeli-Belah untuk melariskan jualan dan meningkatkan keuntungan dengan mengadakan pelbagai promosi jualan sebagai strategi pemasaran mereka.

Namun perlu diingat, suasana yang ingin diwujudkan sepanjang bulan ini, melalui kempen-kempen yang dianjurkan itu, sekiranya tidak sejalan dengan sebuah pemikiran mendasar (akidah Islam) akan mengakibatkan kita tenggelam dalam semangat patriotisme dan nasionalisme yang asing bagi Islam dan hanyut dalam realiti yang penuh kepalsuan. Semoga Allah menyelamatkan umat ini dari perkara tersebut.
Sautun Nahdhah kali ini ingin mengajak pembaca untuk membicarakan erti kemerdekaan secara kritis supaya realiti apa yang dipanggil sebagai ‘kemerdekaan’ itu dapat kita fahami secara benar. Semoga kefahaman dan persepsi yang benar terhadap kemerdekaan ini akan menjadi penampan kepada kita dalam menghadapi suasana hidup yang rosak (kerana tidak diatur oleh Islam) dewasa ini.

Evolusi Penjajahan Dari Fizikal Kepada Mental. 

Penjajahan pada mulanya berlaku dalam bentuk fizikal yang kerap kali dimanifestasikan dengan kekerasan keatas penduduk tempatan di mana mereka (penjajah) mengerahkan kekuatan untuk membunuh dan merompak kekayaan yang ada. Penjelajahan dan penjajahan pada waktu itu didominasi oleh tujuan untuk mendapatkan kekayaan, kemuliaan dan penyebaran agama Kristian. Slogan mereka di kala itu adalah ‘Gold, Glory, and Gospel’ (Kekayaan, Kebesaran, dan Agama Kristian). Perkara inilah yang dibayangkan oleh sejarawan Amerika, Dagobert Runes, yang berkata;

“Penjajah-penjajah pada abad ke 15, 16 dan 17 menamakan diri sebagai pembawa berita gembira (Misionari) dan penjelajah, sebenarnya mereka adalah perompak-perompak buas dan serakah yang menggunakan bendera salib pada haluan kapal serta tengkorak orang kulit hitam di atas tiang kapal. Para penjajah abad ke-18 dan 19 adalah pemburu hamba sahaya dan cita-citanya adalah untuk menyedut kekayaan dan berlumba-lumba memperolehi pasaran baru, mineral baru dan ladang baru dengan cara yang tidak berperikemanusiaan” [Crosscut Through History].

Setelah Revolusi Perancis meletus, perubahan paradigma telah berlaku yang meletakkan Barat selangkah ke hadapan berbanding dengan negeri-negeri di belahan dunia yang lain. Peningkatan taraf berfikir mereka ini telah mencetuskan Revolusi Perusahaan pada awal abad ke 19, seterusnya telah membawa Barat menganuti sebuah ideologi yang memotivasikan mereka untuk mengembangkan idealisme dan pengaruhnya. Penjajahan fizikal dan mental telah diterapkan di tanah-tanah jajahan mereka. William Jevons mengungkapkan tentang dominasi British pada tahun 1865. 
Katanya, 

“Tanah Amerika Utara dan Russia telah menjadi ladang jagung kita, Chicago dan Odessa adalah jelapang bijirin kita, Kanada dan Baltik hutan kita, Australia mengandungi kawasan ternakan biri-biri kita, Argentina dan bahagian Barat Prairie Amerika Utara terdapat kumpulan kerbau kepunyaan kita, Peru mengirim peraknya dan emas dari Afrika Selatan dan Australia mengalir ke London; orang Hindu dan Cina menanam teh untuk kita, sementara kopi, gula dan ladang rempah kita kesemuanya berada di kepulauan Hindia. Sepanyol dan Perancis merupakan ladang anggur kita, dan Mediterranean menjadi dusun buah-buahan kita, dan ladang kapas kita, yang selama ini berada di Amerika Selatan, kini diluaskan di mana-mana jua rantau dunia” [Paul Kennedy, Rise and Fall of Great Powers]. 

Penyebaran agama Kristian tidak penting lagi bagi mereka. Apa yang dipikul selepas itu adalah ideologi Kapitalis. Di setiap tanah jajahan, para imperialis Barat akan berusaha menerapkan budaya yang dilahirkan oleh ideologi ini kepada anak negeri jajahan mereka. Ideologi inilah yang dijadikan sebagai kepimpinan pemikiran (qiyadah fikriyah) yang mampu untuk memimpin pemikiran anak-anak tanah jajahan. Di negeri-negeri kaum Muslimin misalnya, Barat telah berjaya mempopularkan pendapat yang melihat bahawa Islam itu hanya sekadar ajaran yang berkisar kepada hubungan manusia dengan Allah (kerohanian) semata-mata. Sehingga dengan berpandangan sedemikian, Islam itu tidak layak dijadikan tuntunan dalam kehidupan. Sebelum pandangan dan pendapat sesat seperti ini dapat diterima, anak-anak tanah jajahan ini perlu dipisahkan dari kekayaan pemikiran yang diwariskan oleh generasi sebelum mereka. Strategi yang dilakukan terhadap pemikiran ini ialah ia perlu diburuk-burukkan dengan menanam benih-benih yang mengandungi sifat-sifat yang negatif terhadap pemikiran tersebut. Disamping itu, pemikiran yang dibangunkan berdasarkan ideologi kapitalisme ditonjolkan sebagai pemikiran yang ideal dan sesuai dengan zaman moden. Kedatangan kaum Barat ke negeri-negeri jajahan digambarkan sebagai pembawa rahmat kemodenan kepada anak-anak tanah jajahan. Britain adalah salah satu negara penjajah yang pakar dalam kaedah ini. Sehingga kini, negeri-negeri yang pernah berada di bawah jajahan British masih menyayangi bekas tuan mereka ini. Buktinya dapat kita saksikan melalui sokongan dan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara bekas jajahannya yang digelar sebagai Negara-Negara Komanwel.

Kemerdekaan Negara Bangsa Sebagai Kesinambungan Penjajahan.

Jika umat Islam menggunakan ketajaman fikiran mereka dalam menatap lembaran sejarah, nescaya mereka akan dapat mengesan rancangan musuh-musuh mereka (Barat) yang memperalatkan kalimah keramat ‘kemerdekaan’. Slogan ini dilaungkan tidak lebih hanya sebagai topeng untuk menutup kelicikan politik supaya dapat mengekalkan hegemoni mereka di negeri-negeri umat Islam.

Wahai kaum muslimin,

Episod pilu sejarah keruntuhan Negara Khilafah Uthmaniah seharusnya mendedahkan kepada kita bagaimana liciknya Barat mempergunakan seruan ‘kemerdekaan’ kepada rakyat negeri-negeri yang bernaung di bawah Kekhilafahan Uthmaniyah. Ini adalah bagi menjayakan cita-cita mereka untuk menghancurkan institusi Khilafah yang merupakan benteng akhir umat Islam dalam melindungi agama dan kepentingan kaum muslimin. Seterusnya, di atas puing-puing keruntuhan Khilafah tersebut, mereka berebut-rebut menancapkan dominasi mereka ke atas wilayah kaum muslimin yang telah bercerai-berai itu. Cebisan-cebisan wilayah yang kaya dengan sumber alam ini akhirnya menjadi pembekal bahan mentah kepada Barat untuk melicinkan jentera industri mereka dan sebagai lokasi pasaran untuk dilonggokkan barangan yang dihasilkan oleh industri mereka.

Umat Islam adalah umat yang satu - bebas dari (pengaruh dan kekuasaan) umat yang lainnya. Begitulah ungkapan indah yang termaktub dalam Piagam Madinah yang dimeterai oleh Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama penduduk Madinah al Munawarah. Dikala British dan Perancis ingin menghancurkan Daulah Islamiyah, mereka telah memecahkan kesatuan ini melalui doktrin pecah dan perintah (divide & rule) dengan meniupkan semangat nasionalisme dan patriotisme kepada rakyat Daulah Uthmaniah. Di Semenanjung Arab melalui agen mereka, T E Lawrence, mereka mengobarkan semangat nasionalisme Arab. Mereka menyebarkan persepsi bahawa bangsa Arab adalah lebih mulia berbanding bangsa Turki. Oleh itu kekhilafahan seharusnya berada di tangan mereka. Maka tampillah Syarif Husain, gabenor Mekah, ke hadapan untuk mengetuai pemberontakkan memerdekakan Semenanjung Tanah Arab dari Khilafah Uthmaniyah dengan dokongan British. Di kalangan bangsa Turki pula melalui golongan Turki Muda, yang mana kebanyakkan para pemimpin mereka adalah merupakan ahli Freemason, disebarkan fahaman nasionalisme Turki sehingga dengan semangat tersebut bangsa Turki melihat bahawa mereka sepatutnya hanya mengambil berat terhadap kepentingan bangsa mereka sahaja dan meminggirkan kepentingan kaum muslimin yang lain. Oleh itu, institusi Khilafah yang merupakan payung kepada seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa itu tidak perlu dipertahankan lagi.

Fahaman pemisahan (kemerdekaan) juga dihembuskan oleh negara-negara Barat melalui idea nasionalisme ke negeri-negeri Balkan (seperti Serbia, Montenegro, Bosnia-Herzegovina, Crotia, Albania, Kosovo, Bulgaria, Hungari, Romania, dan Cyprus) sehingga akhirnya wilayah tersebut berjaya di’MERDEKA’kan (dipisahkan) dari Khilafah Uthmaniyah. Akhirnya akibat dari bersemaraknya api nasionalisme yang ditiupkan oleh Barat, maka Khilafah menjadi lemah kerana pemisahan (bagi Barat ini dipanggil ‘kemerdekaan’) wilayah-wilayah ini dari tubuh Khilafah. Babak kesengsaraan Khilafah Uthmaniyah yang malang kerana rakyatnya dirasuk fahaman asing yang dibawa oleh Barat, seperti nasionalisme, liberalisme, dan demokrasi, diakhiri dengan keruntuhan institusi tersebut yang secara rasminya telah dimakamkan oleh Mustafa Kamal pada 3hb Mac 1924.

Berkenaan dengan peranan Barat dan kebodohan para pengkagum mereka yang membawa malapetaka kepada umat dan institusi Khilafah yang memayungi mereka, Sultan Abdul Hamid II (1842-1918 M), yang menulis ketika pengasingan baginda setelah dilucutkan jawatan Khalifah Kaum Muslimin oleh musuh-musuh politiknya mengatakan:

“Sekarang aku akan memperhatikan hal yang lebih menghairankan lagi: generasi baru Uthmaniyah dan organisasi Turki Muda yang sentiasa mengunjungi negara-negara besar (Barat) yang memiliki cita-cita untuk mencabik-cabik dan menghancurkan negara Uthmaniyah. Dari sini dapat dipastikan bahawa para pemuda tersebut adalah agen-agen negara-negara besar!! Andai mereka melaksanakan keinginan negara-negara tersebut, maka itulah yang akan mengakhiri perjalanan negara Uthmaniyah!! Dan apabila pendengaran mereka tidak sejalan dengan ucapan negara-negara besar tersebut, maka itu pulalah yang menjadi penghancur negara Uthmaniyah!!!” [Dr. Muhammad Harb, Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II]

Di belahan dunia sebelah sini pula, kemerdekaan yang diberikan oleh British kepada Tanah Melayu adalah untuk mengekang pengaruh Amerika Syarikat dan negara-negara Sosialis, seperti China dan Soviet Rusia. Pada masa yang sama, melalui kelicikan politik, mereka memastikan Tanah Melayu tidak sekali-kali terlepas dari pengaruh mereka. Perlu kita sedari bahawa pada pasca Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat dan negara-negara Sosialis berusaha giat untuk merampas dominasi negara-negara Penjajah Lama (British, Perancis, dan negara Eropah yang lainnya) ke atas tanah-tanah jajahan. Pada penghujung Perang Dunia Kedua telah timbul kesimpulan yang jelas kepada orang-orang yang memahami percaturan politik dunia iaitu pejajahan mesti dihapuskan lantaran serangan Rusia ke atas sistem Kapitalis yang mereka nyatakan sebagai “puncak tertinggi Kapitalis adalah penjajahan”. Rusia telah memulakan serangan keatas sistem Kapitalis dan imperialisme Barat, memotivasikan penduduk tempatan untuk menggerakkan revolusi menentang penjajah dan merancang berbagai peristiwa yang cukup melemahkan Barat. Dalam masa yang sama, Amerika yang menjadi semakin licik dalam aktiviti politiknya mula menggunakan idea ‘kemerdekaan’ dalam memotivasi wilayah yang berada di bawah pengaruh British (yang merupakan saingan politiknya yang utama pada masa itu) untuk melepaskan diri mereka. Wilayah-wilayah ini setelah merdeka akan berada dibawah pengaruh Amerika dalam usahanya untuk mengambil alih kedudukan Inggeris sebagai pemimpin ideologi Kapitalisme dan dunia bebas (free world). Dalam senario percaturan politik kuasa-kuasa besar inilah akhirnya Persekutuan Tanah Melayu diberi kemerdekaan oleh Inggeris, pada 31hb Ogos 1957, setelah dapat dipastikan bahawa ia akan terus berada di bawah pengaruhnya.

Kemerdekaan Islam Kemerdekaan Hakiki.

Kemerdekaan adalah sesuatu yang mulia dan dituntut oleh Islam. Kedatangan Islam itu sendiri membawa misi untuk memerdekakan manusia dari ketundukan kepada makhluk kepada ketundukkan secara mutlak kepada al Khaliq. Inilah yang menjadi jatidiri para sahabat radiAllahu ‘anhum yang telah diasuh oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Inilah juga yang digambarkan dalam jawaban yang dikemukakan oleh Rab’i bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin, dan Mughirah bin Syu‘bah ketika ditanya oleh Panglima Rustum secara bergantian pada hari yang berbeza di Peperangan Qadisiyah. Rustum bertanya, “Apa yang menyebabkan kalian datang ke sini?” Mereka menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan siapa sahaja yang mahu dari penghambaan kepada hamba menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju keluasannya, dan dari kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam....” [Tarikh at-Thabari, II/401, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut]
Misi Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya juga tergambar secara jelas dalam firman Allah Subhanahu wa Taala:

”Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah setan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya menuju kegelapan” [TMQ al-Baqarah (2): 256]

Ayat ini menunjukkan bahawa syariat yang diturunkan oleh Allah akan membebaskan manusia dari kegelapan menuju cahaya; dari kegelapan kekufuran ideologi dan sistem Kapitalisme-sekular mahupun Sosialisme-komunis menuju cahaya iman, iaitu ideologi dan sistem Islam. Inilah kemerdekaan yang sebenar - kembalinya Umat Islam ke pangkuan Sistem Islam sepenuhnya, bukannya mengabdikan diri kepada sistem buatan manusia, perlembagaan kufur dan dasar-dasar kufur. Secara fizikalnya kita nampak umat Islam merdeka dari penjajahan tetapi sebenarnya pemikiran mereka masih lagi dijajah. Oleh itu, umat ini memerlukan kemerdekaan pemikiran. Setelah itu, barulah kemerdekaan sebenar dapat dicapai.

Inilah kemerdekaan hakiki yang akan diwujudkan oleh Islam. Sesungguhnya, Islam sahajalah yang akan membebaskan manusia dari penghambaan kepada manusia menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju kelapanganNya, dan dari kezaliman agama dan ideologi selain menuju keadilan Islam. Kemerdekaan hakiki inilah yang semestinya kita usahakan untuk diwujudkan, yang mana untuk meraihnya, perlulah dipastikan perkara-perkara berikut dapat direalisasikan oleh kita semua: 
Pertama: Meletakkan kedaulatan hanya milik Allah semata, iaitu milik syariah, bukan di tangan manusia.

Kedua: Menerapkan syariat Islam. Kedaulatan milik Allah itu hanya akan terwujud secara praktik dengan terterapnya syariat Islam. Penerapan syariat Islam di tengah-tengah kehidupan akan membebaskan manusia dari segala bentuk penjajahan. Oleh kerana itu, semua pihak sewajarnya meletakkan penerapan syariat Islam secara kaffah sebagai agenda utama mereka. Mengamalkan syariah dalam kehidupan peribadi, masyarakat, dan negara merupakan kewajiban setiap individu Muslim sekaligus merupakan bentuk kemerdekaan yang hakiki. 

Ketiga: Membakul-sampahkan ideologi dan sistem Kapitalisme-Sekular mahupun Sosialisme-Komunis, yang merupakan ideologi buatan manusia dan ini sekaligus akan menolak segala bentuk penjajahan. Kita juga mesti mencampakkan akidah sekularisme dan semua pemikiran yang dilahirkannya seperti liberalisme, pluralisme, demokrasi dan sebagainya sejauh-jauhnya. Kita juga mesti menolak segala bentuk campur tangan dan penjajahan asing dalam mengatur kehidupan kita dan berusaha untuk mewujudkan kemandirian di dalam segenap bidang. 

Wahai kaum Muslim,

Sudah tiba masanya kita memerdekakan diri. Sudah saatnya kita bangkit dan bersatu menerapkan syariat Islam. Juga sudah sampai ketikanya kita mewujudkan kepemimpinan yang Islami dengan menegakkan kembali institusi Islam, iaitu Khilafah Islamiyyah. Khilafah Islamiyyah inilah yang akan membawa kita menuju kemerdekaan yang hakiki, menghambakan diri kita hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata.

Diharapkan selepas ini apabila kita diajukan pertanyaan; “Malaysia sudah merdeka…..kenapa tak percaya?” Berdasarkan petunjuk Islam, InsyaAllah, kita akan dapat menjawabnya dengan penuh keyakinan. Wallahu a’lam bi ash-shawab.

Monday, 22 October 2012

Ubah pemikiran sebelum peraturan

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN



Saya terfikirkan kata-kata ummul mukminin Aishah RA mengenai penurunan (kedatangan) ayat-ayat al-Quran. 

Kata ‘Aishah: "Sesungguhnya (peringkat) awal al-Quran yang turun ialah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek bermula dari Surah Qaf sehingga an-Nas) yang menyebut di dalamnya tentang syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah kembali (datang) kepada Islam, maka turunlah (ayat-ayat) halal dan haram. 

"Jikalau (peringkat) awal al-Quran turun menyatakan: Jangan kamu minum arak, nescaya orang ramai berkata: Kami tidak akan tinggalkan arak sama sekali. Jikalau peringkat awal al-Quran turun: Jangan berzina. Nescaya mereka berkata: Kami tidak akan tinggalkan zina sama sekali."
Apa yang Aishah beritahu ialah mengenai pendekatan al-Quran dalam mengubah manusia. Ayat-ayat awal bukan menekan isu halal dan haram, sebaliknya penegaskan tentang syurga dan neraka. Dalam erti kata lain membangunkan iman tentang Hari Akhirat bahawa setiap insan akan dibalaskan kebaikan dan keburukan yang dilakukannya. 

Setelah hal itu mendalam dan dapat dihayati oleh manusia, barulah ayat-ayat berkaitan halal dan haram datang untuk membentuk peraturan syariat dalam kehidupan. Hasil dari pembentukan jiwa yang begitu menghayati tentang konsep syurga dan neraka, maka dengan mudahnya halal dan haram itu dihayati dalam kehidupan manusia ketika itu. 

Jikalau al-Quran pada awalnya berkempen soal halal dan haram sebelum pembentukan minda dan jiwa tentang Hari Akhirat pastinya manusia akan gagal mematuhi hukum-hakam tersebut.
Jiwa dan minda
Hal ini penting untuk difahami oleh kita yang ingin melakukan perubahan dalam masyarakat. Perkara yang pertama yang perlu dilakukan ialah mengubah jiwa dan minda masyarakat. Dalam erti kata yang lain, mentaliti masyarakat hendaklah diubah terlebih dahulu sebelum mengubah tindakan mereka. 

Kegagalan dalam perubahan, terutama kelompok Islamis ialah apabila wujudnya kegopohan ingin mengubah peraturan yang tersedia ada dalam sesuatu masyarakat dan negara, tanpa terlebih dahulu menjayakan agenda mengubah cara fikir dan kefahaman masyarakat. Inilah yang telah melingkupkan ‘Taliban' di Afghanistan.
Manusia yang dipaksa berubah sedangkan jiwanya enggan dan membantah akan menyimpan rasa tidak puas hati dan kebencian yang bersarang dalam jiwa mereka. Mereka mungkin tunduk buat sementara waktu mereka tidak mampu bertindak. Namun, mereka akan memberontak dan menentang apabila ruang mengizinkan. 

Pemikiran sesetengah kelompok Islamis yang tergesa-gesa untuk mewujudkan negara yang penuh dengan hukuman terhadap rakyat yang tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan akan meruntuhkan negara dari dalam. Mereka hanya akan membina negara yang rakyatnya hidup dalam kebencian. Lebih parah lagi kebencian kepada kelompok mullah ataupun ustaz itu nanti akan bertukar menjadi kebencian kepada agama. 

Alhamdulillah, hal ini disedari oleh kelompok Islamis yang berjaya mendapatkan kerajaan di Turki, Mesir, Tunisia dan lain-lain. Mereka nampaknya tidak tergopoh-gapah untuk melaksanakan hudud dan lain-lain peraturan yang dikaitkan dengan Islam sebelum proses kefahaman diperkukuhkan. Mereka sepatutnya mengambil langkah membangunkan pendidikan jiwa dan minda dalam kehidupan rakyat terdahulu.
Kita hendaklah sedar bahawa memperkukuhkan, ataupun membetulkan cara fikir dan faham pada zaman ini jauh lebih sukar dan payah dibandingkan dengan zaman dahulu. Banyak unsur cabaran idea dan pemikiran yang tersebar dalam kalangan masyarakat manusia. Dunia teknologi maklumat hari ini telah menjadikan pemikiran manusia begitu rencam dan bermacam. 

Oleh itu, tidak memadai sekadar berceramah di masjid dan surau untuk menyelesaikan isu kefahaman rakyat. Pembinaan semula jiwa dan minda rakyat memerlukan masa dan penyusunan yang mengambil tempoh yang tidak singkat. 

Sedangkan arak pada zaman Nabi SAW sekalipun al-Quran mengharamkannya secara berperingkat-peringkat, inikan pula pelbagai isu yang berserabut pada zaman ini dan kepimpinan Nabi SAW secara zahir tidak lagi wujud.
Taliban
Saya tertarik dengan kritikan Wahidudin Khan terhadap tindakan kerajaan Taliban pada tahun 2001 mengebom dua patung besar bersejarah Gautama Buddha di Bandar Bamiyan. Dua patung itu yang bina sejak kurun keenam telah anggap karya agung bersejarah dan telah menjadi tarikan pelancong seluruh dunia. 

Maulana Wahidudin Khan dalam The Prophet of Peace telah membandingkan tindakan Taliban itu dengan pendekatan Nabi SAW pada peringkat awal dakwah di Mekah. Walaupun pencemaran yang paling besar di Mekah ialah kewujudan 360 berhala yang mengelilingi Kaabah, namun Nabi SAW tidak memfokuskan untuk menghancurkan berhala-hala itu terlebih dahulu.
Memang benar Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim AS untuk penegakan tauhid. Kewujudan berhala di kelilingnya adalah satu pembohongan terhadap misi Nabi Ibrahim AS yang mana Nabi Muhammad SAW adalah penerus misi tersebut. 

Namun, meruntuhkan berhala dalam keadaan manusia tidak faham tidak akan dapat mengubah keadaan, sebaliknya mungkin berhala yang lebih banyak akan dibina. Maka, pada peringkat awal dakwah Nabi SAW tidak meruntuhkan berhala yang ada, sebaliknya memberikan tumpuan kepada menyampaikan tauhid dan misi ajaran Islam yang sebenar.

Setelah Mekah dikuasai dengan kefahaman majoriti manusia berubah, maka berhala-berhala pun diruntuhkan.
Wahidudin Khan mengkritik Taliban dengan menyatakan alangkah baiknya jika Taliban mengambil kesempatan dengan kehadiran pelancong yang ramai untuk menyebarkan mesej Islam dan kerajaan mereka secara natural bukan dengan kekerasan. (hlm 24. New Delhi: Penguin Books).
Keras
Saya rasa, sebab utama wajudnya kelompok terroris ialah apabila ada kecenderungan mendahulukan hukuman sebelum dakwah. Mendahulukan menghukum manusia sebelum berbicara dengan cara yang baik. Mengutamakan undang-undang agama, sebelum dialog memahamkan manusia berhubung dengan tujuan agama.
Kelompok yang keras seperti ini mungkin rasa berpuas hati apabila melihat manusia patuh kepada hukum agama yang diwujudkan, tanpa mereka menyedari bahawa memaksa manusia mematuhi agama yang tidak difahami dan disetujui oleh mereka hanya mewujudkan sifat munafik dalam jiwa. 

Misi Islam bukan untuk mewujudkan manusia patuh undang-undang agama di dunia secara paksa, sebaliknya misi asal Islam ialah untuk menyelamatkan manusia dari neraka dan memasukkan manusia ke dalam syurga. Hal ini hanya dapat berlaku apabila manusia menerima agama dengan ikhlas dan jujur. Sebab itulah Nabi SAW - seperti yang diriwayat oleh al-Bukhari dan selainnya - menziarahi Yahudi yang hampir meninggal dan mengajarnya shahadah. 

Sekalipun dia hampir mati dan tiada ruang untuk kembali menjadi warga Madinah yang taat, tetapi tanggungjawab terbesar misi Islam ialah memastikan manusia kepada kembali kepada Allah dengan rela dalam apa keadaan sekalipun.
Ini tidak bererti kita menolak peraturan yang bersifat Islamik, tetapi ia hanya hadir setelah kefahaman rakyat dimantapkan dengan hujah dan alasan yang menundukkan jiwa dan minda mereka. Maka, meletakkan keutamaan sesuatu agenda agama untuk mengubah perundangan tanpa melihat kepada persekitaran kefahaman bukanlah langkah yang bijak.
Nabi SAW apabila sampai ke Madinah memulakan program-program yang membangunkan rakyat atau constructive activities, sebelum bercakap tentang peraturan yang mengongkong mereka. 

Baginda membina masjid yang berfungsi dengan sepenuhnya, membangunkan persaudaraan antara kaum, mengujud toleransi dalam kehidupan beragama antara Muslim dan Yahudi.

Selepas itu kita dapati baginda menghidupkan suasana membantu yang kesusahan, menghalang kezaliman, memudahkan yang halal dan menyusahkan yang haram. Apabila undang-undang diwujudkan selepas itu, maka ia sudah serasi dengan jiwa masyarakat.
Apabila suasana berubah, maka keadaan umat Islam juga berubah. Maka banyak perkara perlu dilakukan dalam memahami semula umat Islam dan masyarakat umum tentang Islam sebelum menjatuhkan hukuman kepada mereka. 

Menuduh orang lain anti-Islam, ataupun menuduh non-Muslim kafir harbi ataupun menuduh Muslim kafir dan sesat sebelum didahului dengan penerangan yang betul, itu satu kesalahan. Sikap suka mendahulukan persoalan halal dan haram tanpa diberikan alasan dan pendekatan yang jelas dan baik, juga tidak serasi dengan cara al-Quran yang Allah turunkan. 

Undang-undang, hukuman dan penilaian atas nama agama hanya wujud selepas penerangan dan kefahaman yang sebenarnya disebarkan dengan secukup-cukupnya. Apabila agama lebih meresap ke dalam jiwa dan minda, maka semua kata-kata agama itu mudah sahaja untuk diterima.

Tuesday, 16 October 2012

Singgah Menulis.


Salam kepada semua pengunjung blog Minda Merdeka. Blog yang diaktifkan sebulan  masih belum diberi komitmen yang sepenuhnya oleh penulis. Hal ini disebabkan penulis perlu memfokuskan kepada peperiksaan STPM yang akan tiba sebulan lagi. Jadi penulis belum mempunyai isu atau idea untuk dibincangkan malah tidak ada tulisan tulen dari blooger. Kesemua tulisan atau entri yang wujud dalam blog ini hanyalah salinan dari blog blog ternama yang tulisannya sangat bernas,kritis dan kreatif untuk menjana Minda Merdeka.

Penulis berhajat untuk berkecimpung dalam dunia penulisan terutama dalam lapangan politik kerana ia memerlukan akal yang kritikal untuk menilai pergerakan politik di Malaysia. Waktu kepanasan Pilihan Raya sangat mencengkam jiwa rakyat ketika ini. Isu - isu panas akan diutarakan di tengah masyarakat samada ia menguntungkan atau merugikan pihak lawan. Masalah korupsi, penipuan pilihan raya, penyelewengan pendaftaran undian, kebajikan rakyat, wang negara, campur tangan asing, dasar luar negara, pentadbiran, integriti, kemajuan ekonomi,sosial rakyat, program kerajaan akan menjadi bahan perbincangan sensasi. Setiap manifesto parti politik akan diteliti untuk menunjukkan kerelevenan program pada masa hadapan.

Pru 13 ini bagi setiap rakyat merupakan acara yang sengit kerana melibatkan survival bangsa, agama dan negara. Isu Perdana Menteri bukan melayu, negara kristian, hak bumiputera, raja raja sangat membimbangkan sekelompok masyarakat Melayu. Rakyat masih lagi dalam dilema untuk menentukan kerajaan samada BN atau PR. Ini kerana kedua - dua pihak memainkan sentimen fobia terhadap rakyat. Pihak BN akan memainkan isu rasisme, Dap anti Islam, Anwar balaci Yahudi, Satu undi Pr untuk Soros, manifesto pembangkang akan muflis negara manakala PR akan mendendangkan perkara berkaitan Scorpenene, korupsi, pilihanraya kotor, rosmah, dasar negara, Mca anti Islam, Najib takut debat, kerajaan zalim dan sebagainya.

Persaingan seperti ini adalah kunci kepada enjin survival politik masing masing. Penulis melihat kedua dua pihak hanya berselisih tentang isu yang boleh memberi keuntungan politik tetapi tidak kepada rakyat. Lihatlah persidangan Parlimen, ada babak babak yang menunjukkan kredibiliti MP dari parti masing masing. Ada MP yang gemar dengan perbalahan sesama MP tentang soal parti, privasi, projek sedangkan di luar Parlimen masih banyak rakyat yang mengemis mencari sisa makanan, gelandangan bersepah di bandar - bandar, penganggur meningkat, infrastruktur sekolah yang lemah, hospital yang kurang pakar profesional, rakyat yang ibarat pagi makan pagi petang makan petang, dan isu isu hak asasi tidak terjamin malah jenayah semakin melonjak. Sepatutnya MP perlu membahaskan isu ini sekritikal mungkin kerana perkara ini membabitkan soal masa depan negara. Dr Mahathir merencanakan wawasan 2020 ini berobjektifkan untuk menjadi Malaysia maju sebagai autoriti perindustrian sepenuhnya. Wawasan 2020 mempunyai 9 matlamat dan penulis ingin memetik satu dari matlamat tersebut -

Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Renunglah wahai rakyat Malaysia, harapan Dr Mahathir sangat memuncak, tetapi malangnya segala usaha dan harapan yang diimpikan telah dikhianati oleh para politikus. Isu rakyat semakin menimbun, masalah perpaduan terlalu kronik, gejala korupsi membarah, pelacuran bermaharajalela, murtad berleluasa, jenayah menyerang ketenteraman. PARA POLITIKUS ENAK BEREMPUK DI ATAS KERUSI PARLIMEN .BERBALAH SOAL HABUK ,MEMBUANG EMAS DI LAUT. Harap pembaca faham kiasan penulis. Soal diri masing - masing , adakah ini tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat lain? Bolehkan negara lain ingin mengiktiraf Malaysia sebagai model negara maju disamping masalah instrik atau dalaman negara terlalu kronik. 

Marilah para pembaca yang budiman lagi celik intelek, mari kita bebaskan minda dari tawanan syaitan , mari kita bersatu membina negara supaya lebih bersedia ke era  2020 seperti yang diidamkan oleh negarawan kita. Marilah kita berusaha memastikan negara ini bebas dan makmur dari ancaman kuasa imperialis kerana penjajah boleh melakukan segala yang mungkin. Persoalannya, siapa yang layak memajukan negara ini. Jawapannya telah dijawab oleh Hasan Basri apabila mengirim surat kepada Umar ABD Aziz -

Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin negara yang adil itu sebagai tunggak yang menahan sesuatu supaya tidak condong. Ia menjadi sumber rujukan kepada yang apa dirancang, membaiki setiap yang buruk , memperkuatkan yang lemah dan mengembalikan hak kepada dizalimi. 

Wahai Amirul Mukiminin, , pemimpin yang adil itu umpama seorang ayah yang penyayang terhadap anaknya, berusaha untuk menjamin kehidupan yang baik dan mengajarnya sehingga besar,berusaha untuk kebaikan di masa ayah itu masih hidup dan menjamin kebaikan setelah ayah itu meninggal dunia

Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu laksana ibu yang penyayang dan pengasih terhadap anaknya,mengandungkan dengan kesakitan ,melahirkan dengan kesakitan. Kemudian menjaga dengan kesusahan, berjaga malam bersama sama, timggal bersama sama, menyusu dan melepaskan susu dengan rasa kasihan. Ibu bergembira jika anak sihat dan merasa sakit jika anaknya sakit. 

Wahai Amirul Mukminin, pemimpin yang adil itu laksana penjaga anak yatim, penjaga barang barang oran miskin, mendidik anak anak mereka dan membekalkan kepada orang dewasa. 

Pemimpin yang adil itu wahai Amirul Mukminin, laksana hati dalam jasad, jika baik maka baiklah kesemua anggota  jika buruk maka semuanya menjadi buruk. 

Pemimpin yang adil itu wahai Amirul Mukminin laksana orang yang berada di hadapan Allah. Dia mendengar firman Allah dan memperdengarkan kepada rakyat ,mengikut perintah Allah dan memimpin rakyat supaya bersamanya. 

Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau menjadi orang diberi milik kepadanya oleh Allah seperti hamba yang diberi amanah oleh tuannya supaya menjaga harta dan keluarga, tiba tiba dia menggunakan harta itu dengan boros dan membiarkan keluarganya dalam kemiskinan. 

Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menurunkan hukum hudud supaya mencegah keburukan dan kekejian akhlak . Apakah akibatnya sekiranya orang yang menguruskan melakukan kekejian dan keburukan. Allah menurunkan hukum qisas untuk memelihara hambanya maka bagaimana orang yang membunuh ialah orang yang ditugaskan melaksanakan hukum qisas itu.

Wahai Amirul Mukminin, ingatlah kepada mati dan perkara yang berlakunya selepasnya. Nyatakan kepada mereka azab seksa dan huru hara selepas kematian. 

Ketahuilah wahai Amirul Mukminin,bagimu ada suatu tempat yang lain daripada tempat kamu ada sekarang. Tempat kamu perlu menunggu jangka masa yang panjang dan keseorangan. Nyatakanlah kepada mereka

                              " Hari melarikan diri daripada seseorang itu oleh saudaranya,ibunya, ayah, isteri, dan anak anaknya. ( Surah Abasa)ayat 34- 36.

Ingatlah wahai Amirul Mukminin bahawa kamu berada di dalam tempoh waktu sebelum kamu tiba ajal dan putusnya cita cita. Janganlah kamu melaksanakan hukum dengan hukuman hamba Allah dan memerintahnya dengan hukum hukum jahat. 

Jangan memerintah mereka dengan mengikut orang orang jahil dan janganlah engkau memberi kuasa kepada orang orang yang sombong dengan menindas orang lemah.

Kamu sendiri memikul bebanan dosa kamu bersama dosa yang lain. Janganlah kamu tergoda dengan nikmat yang membawa celaka kepadamu. Mereka memakan yang baik baik untuk menghilangkan kebaikanmu di akhirat. 

Jangan kamu memandang kuasa kedudukan kamu pada hari ini tetapi pandanglah kepada hari esok semasa kamu berada di tali tali kematian,di hadapan Allah dan ditengah khalayak ramai seperti para malaikat, nabi nabi dan rasul rasul. Hendaklah kamu bersikap merendah diri dan ketika berhadapan dengan Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya.

Sekian saja wahai Amirul Mukminin ,tidak luput daripada saya perasaan kasih sayang kepadamu dan untuk memberi nasihat. Ketahuilah setiap ubat tidak sedap tetapi ubat itulah yang menyembuhkan dan memberi kesihatan .

Hasan Basri. 


Semoga surat yang ditulis oleh Hasan Basri kepada Khalifah Umar Abd Aziz ini memberi teladan yang baik kepada kita untuk memilih pemimpin yang baik agar mencapai konsep 

                                                                        "  Negara aman makmur dan Tuhan Maha Pengampun" (Surah Saba)15.


MINDA MERDEKA.